JIKA sebelum ini Sinar Plus pernah siarkan kisah seorang ratu cantik England yang dikenali sebagai Dr Bhasha Mukherjee nekad untuk kembali berbakti sebagai pegawai kesihatan di negaranya ekoran penularan Covid-19.

Jangan ingat ratu cantik England itu sahaja mampu berbuat demikian, Malaysia tidak kurang hebatnya!

Kali ini giliran Miss World Malaysia 2019 pula tampil berbakti buat Malaysia tercinta dengan menjayakan misi kemanusiaan.

Dikenali sebagai Dr Nisha Thayananthan, beliau pernah merangkul gelaran Miss World Malaysia 2019 merupakan doktor perubatan dari Hospital Putrajaya.

Memetik laporan, Nisha dikatakan memandu sendiri ke beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Seremban untuk mengagihkan sumbangan seperti beras, minyak masak dan susu.

“Saya dididik dengan memberi ada lebih baik daripada menerima terutamanya kepada golongan kurang bernasib baik. Ibu bapa saya menjadi inspirasi.

“Saya dah lama sertai misi kemanusiaan, sepanjang perjalanan ini, saya telah bertemu dengan ramai orang susah terutama semasa Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya kepada Bernama.

Dr Nisha yang juga petugas barisan hadapan di Hospital Putrajaya berkata, ramai orang yang memerlukan bantuan menghubunginya sejak pandemik Covid-19 bermula.

Iklan

“Selalunya saya guna duit sendiri untuk membantu mereka dan meluangkan masa terlibat dengan kerja amal,” kata Dr Nisha.

Selain itu, ibunya pula menguruskan rumah penjagaan orang-orang tua serta pusat perlindungan haiwan terbiar yang mana kedua-duanya terletak di Petaling Jaya, Selangor.

Iklan

“Semasa krisis ini, banyak pengorbanan dibuat oleh rakan-rakan saya demi menyelamatkan nyawa, bekerja siang dan malam selain terpaksa berjauhan dengan keluarga tersayang.

“Sebagai doktor, saya mahu semua orang berhati-hati dan duduk di rumah kerana kami sedang bertungkus-lumus membasmi Covid-19,” katanya.