MENERUSKAN legasi bapa yang menjual sate di beberapa tapak pasar malam di Langkawi, Kedah sejak lebih dua dekad lalu, seorang bekas pengurus di sebuah syarikat antarabangsa menyuntik idea segar apabila menjenamakan semula perniagaan itu kepada TerraGrill Langkawi.

Zainah Abd Manaf, 42, mengambil keputusan berhenti kerja dan mengambil alih perniagaan tersebut pada sekitar 2011.

Kemudian beliau memindahkan operasi ke sebuah kilang bagi membolehkan syarikat mengeluarkan lebih banyak produk dengan kapasiti pengeluaran sehingga mencecah 7,000 cucuk sehari berbanding 3,000 sebelum ini.

Ketika negara berdepan wabak Covid-19, Zainah berkata syarikatnya masih beroperasi seperti biasa sambil mengakui terdapat cabaran yang perlu ditempuhi.

“Kami hanya menawarkan jualan secara bungkus manakala untuk penghantaran, langkah tambahan telah dibuat seperti mewajibkan penghantar makanan mencuci tangan sebelum dan selepas melaksanakan tugas,” katanya.

Pada hari pertama PKP berkuat kuasa, Zainah berkata pesanan dalam talian masih berjalan seperti biasa, namun mula mencatat peningkatan sebanyak 20 peratus pada hari berikutnya.

“Pada tiga hari berikutnya, pesanan meningkat 80 peratus sebelum berkurangan pada hari kelima selepas pihak berkuasa meminta tempoh operasi perniagaan ditamatkan lebih awal,” katanya.

Selepas 26 tahun berlalu, perniagaan berkenaan masih bertahan, namun mengalami evolusi seiring dengan perkembangan teknologi digital.

Jenama Terragrill semakin berkembang apabila turut menawarkan makanan lain seperti nasi ayam penyet, soto ayam serta soto tulang selain beroperasi secara dalam talian.

Iklan

“Kami masih mempunyai tapak di pasar malam namun kini turut membuka sebuah kafe di Pekan Kuah dengan bantuan 22 pekerja bagi operasi kilang, tapak jualan pasar malam dan kafe, manakala dua lagi sebagai penghantar makanan,” katanya dalam blog Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Terragrill Langkawi semakin terkenal apabila Zainah membuat promosi di platform digital seperti Facebook, Instagram dan laman web dengan angka jualan mencecah RM40,000 hingga RM60,000 sebulan.

Iklan

Jenama sate ini merupakan antara 100 usahawan di Langkawi yang menyertai Program 100 Go Digital anjuran MDEC di pulau berkenaan tahun lepas.

Melalui program itu, graduan Ekonomi Industri dari Universiti Kebangsaan Malaysia itu telah berjaya mengaplikasikan sistem pembayaran tanpa tunai di kafenya bagi kemudahan pelanggan.

Beliau berharap perniagaan itu akan terus bertahan setelah mula meluaskan pasaran dengan menjual produknya di Shah Alam, Subang Jaya dan Puchong, Selangor sejak bulan lepas.