Dunia Jam 10 sinonim dengan Farit Ismeth Emir

Dunia Jam 10 sinonim dengan Farit Ismeth Emir
April 20, 2020
Faizul Hakimi

KINI hanya tinggal kenangan. Pembaca berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang memiliki ‘suara emas’, Farit Ismeth Emir disahkan meninggal dunia pada hari ini di Hospital Assunta, Petaling Jaya, Selangor.

Berita sedih tersebut dimaklumkan oleh anaknya, Farzwa De-Attaher Emir atau lebih dikenali sebagai DJ Fuzz.

“Farid Ismeth Emir baharu sahaja menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Assunta, Petaling Jaya.

“Allahyarham dikenali sebagai Pak Ngah dalam kalangan warga RTM merupakan individu yang penting dan sudah tentu beliau akan dirindui,” katanya.

Farid Ismeth Emir, 66, merupakan penyampai berita veteran di stesen penyiaran awam milik kerajaan itu memiliki tujuh orang cahaya mata.

Jika anda peminat RTM, sudah pasti wajah Allahyarham Pak Ngah sering menemani penonton menerusi ruangan segmen berita.

Menyertai RTM pada 1986 dan sinonim dengan segmen Berita Dunia Jam 10 yang bersiaran selama 1 jam tentang perkembangan dunia.

Allahyarham juga pernah meminjamkan suaranya untuk iklan-iklan komersil dan membawakan watak doktor dalam drama radio popular RTM.

Selain itu,  Allahyarham terkenal sebagai pemilik suara di sebalik slogan iklan Dunhill “Gaya, Mutu, Keunggulan” semasa iklan jenama tembakau dibenarkan serta beberapa iklan terkenal lain di televisyen.

Hakikatnya, menjadi pembaca berita adalah kerjaya yang penuh dengan cabaran tetapi menyeronokkan.

Namun, bukanlah mudah untuk menjadi pembaca berita yang baik dan terkesan.

Berbekalkan ‘suara’ emas yang dimiliki, tuah ternyata berpihak kepada pemegang ijazah dalam bidang perhotelan dan antropologi ini yang telah berkhidmat sebagai penyampai berita sejak era 80an.

Allahyarham sememangnya terkenal dengan penciptaan kata-kata dan juga frasa popular. Pemergian beliau sudah tentunya meninggalkan kesan, namun kata-kata hikmatnya tetap menjadi ingat rakyat Malaysia.

Sinar Plus percaya pasti rakyat Malaysia dan pendengar setia akan merindui ‘suara emas’ Allahyarham yang selama ini disifatkan menyampaikan berita dengan jelas dan sedap didengar.

Takziah buat keluarga Allahyarham dan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh. Aamin.

 

 

About Faizul Hakimi