TANPA mengira kedudukan, pangkat atau darjat individu itu pasti pernah mengalami tekanan atau stres sepanjang hidup mereka.

Tekanan dan stres ini berlaku disebabkan tiga faktor. Pertama ialah tekanan survival yang berlaku apabila individu berasa terancam sama ada dari segi emosi, fizikal atau perasaan takut.

Kedua ialah tekanan yang berlaku disebabkan diri sendiri. Selalunya perkara sebegini berlaku kepada individu yang mementingkan kerjaya, bercita-cita tinggi atau melakukan sesuatu dengan harapan untuk mendapatkan hasil yang lumayan.

Manakala ketiga pula disebabkan tekanan di tempat kerja yang berpunca daripada kawasan persekitaran tidak kondusif untuk berkerja.

Secara ringkas, tekanan itu boleh berlaku kepada semua peringkat usia dalam apa jua keadaan apatah lagi pada keadaan semasa ini ramai yang duduk di rumah ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh selama 14 hari bermula hari ini.

Justeru, SinarPlus inginkan kongsikan lima cara yang dapat membantu mengurangkan tekanan:

1. Hubungan atas talian

Internet yang memiliki kelebihan dunia tanpa batas dapat membantu untuk ‘menghapuskan’ jurang jarak antara satu sama lain meskipun terpisah jauh ribuan batu.

Gunakan kelebihan itu secara bijak bagi memperoleh manfaat yang berguna. Saling bertanya khabar atau berbual-bual seperti pelbagai topik menarik seperti perbincangan menu masakan hari ini, gosip drama Malayu ‘diluar kotak’ dan macam-macam lagi.

Paling utama elakkan perkara yang boleh mendatangkan kemarahan atau menjadi punca kepada ‘tercetusnya’ tekanan baharu.

2. Membaca

TIdak mengira sama ada membaca buku secara fizikal atau atas talian, kedua-duanya dapat memberikan kebaikan dan menambahkan pengetahuan serta kemahiran.

Pada masa sama, di zaman yang serba canggih ini segala yang diperlukan hanya berada di hujung jari sahaja.

Begitu juga dengan bahan bacaan atas talian yang boleh didapati secara percuma atau berbayar.

Jika buntu untuk mencari kandungan bacaan berkualiti atas talian, anda boleh menggunakan platform seperti Scribd, Perpustakaan Negara dan Kotak Buku (BookCapital).

3. Jaga hubungan dengan TUHAN

Kesibukan waktu kerja kadangkala membuatkan kita sedikit alpa terhadap tanggungjawab menjaga hubungan kerohanian dengan TUHAN.

Iklan

Oleh itu, gunakan waktu begini untuk memperbanyakkan amal ibadah atau melakukan puasa enam sementara Syawal masih berbaki sekitar 10 hari lagi.

4. Habiskan masa dengan keluarga

Cari aktiviti menarik atau permainan yang membolehkan kesemua ahli keluarga turut serta.

Jika sukar untuk melakukan aktiviti fizikal, kita boleh melakukan permainan seperti teka-teki atau berbalas pantun.

5. Wujudkan persekitaran baharu

Peluang menghabiskan masa di rumah ini juga boleh digunakan untuk mengubah susun atur perabot bagi mewujudkan suasana berbeza.

Iklan

Aktiviti ini bukan sahaja dapat mengurangkan tekanan, tetapi ia turut dapat meningkatkan daya kreativiti anda.

Diharapkan perkongsian ini dapat membantu mengurangkan tekanan sepanjang 14 hari pelaksanaan PKP.

Sekiranya anda mengalami sebarang kesulitan, cuba menjadi saluran yang betul untuk berkongsi cerita kerana bimbang tersilap langkah boleh memakan diri.

Pendek kata, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa. Apabila segalanya sudah terlambat, tak guna membuang masa menegakkan benang basah kerana bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan nyiru.

Nota: Marilah kita bersama-sama berganding bahu memerangi virus Covid-19 dengan cara duduk rumah dan tidak keluar jika tiada urusan penting. #KitaLaluiBersama