BARANGKALI ketua keluarga sudah boleh menarik nafas lega.

Kerajaan sudah membenarkan seorang lagi ahli menjadi peneman ketika keluar membeli barangan keperluan dapur sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Masakan tidak, jika sebelum ini termangu-mangu keseorangan mencari barang dapur, kerja pembelian mungkin menjadi lebih pantas jika ada peneman sama ada isteri atau anak.

Lepas ini tak perlu mengeluh terpaksa mengangkat barang yang banyak dan berat seorang diri lagi.

Kebenaran baharu yang diumumkan kerajaan itu menerusi kemas kini Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Peraturan yang diwartakan mengikut kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu berkuat kuasa bermula hari ini hingga 12 Mei depan.

Seksyen 4(1)(a)(ii) peraturan itu membenarkan individu yang keluar membeli makanan, ubat, keperluan harian atau barangan lain disertai seorang anggota keluarga yang tinggal serumah dengannya.

Individu yang keluar ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan atau perubatan pula dibenarkan untuk disertai mana-mana orang lain yang dianggap perlu secara munasabah, selaras Seksyen 4(1)(b)(ii) peraturan sama.

Iklan

Bagaimanapun, peraturan mereka yang mahu keluar membeli makanan, barangan keperluan harian, perubatan, rawatan dan lain-lain, hanya dibenarkan bergerak tidak melebihi 10 kilometer (km) dari kediaman masing-masing masih dikekalkan.

Tetapi, jika keperluan tersebut tiada dalam lingkungan 10km, orang ramai diberi kelonggaran untuk ke tempat lain meskipun melebihi jarak yang ditetapkan.

Iklan

Diingatkan supaya dapatkan kebenaran bertulis dari balai polis berhampiran dahulu dan jika ingkar, boleh dikenakan denda maksimum RM1,000 atau dipenjarakan sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Seram bunyinya, bukan? Jadi, patuhi peraturan dan pastikan jarak sosial dibenarkan ok!