ANDA beli daging lebih atau bercadang nak masak daging tapi tetiba tak jadi masak. Ada cara yang mudah untuk simpan daging supaya tahan lebih lama.

Dengan tip ini bukan hanya daging tahan lama, malah kesegaran daging masih boleh dikekalkan walaupun ia sudah disimpan lama dalam freezer.

1.Asingkan daging

Perkara pertama yang perlu anda lakukan adalah mengasingkan daging ikut bahagian. Misalnya tulang, daging batang pinang, tulang, bahagian dalaman (perut, hati, limpa dan paru) dan daging cincang. Apabila anda ingin membuat sup anda hanya keluarkan bekas berisi tulang sahaja, yang lain-lain kekal di dalam freezer.

2.Simpan daging dalam saiz sekali masak

Bila memperolehi daging dalam jumlah banyak, potong dan bahagikan kepada beberapa bahagian ikut saiz sekali masak. Contoh jika anda mendapat 3 kilogram, bahagikan kepada enam bungkusan (satu bahagian sekali masak). Masukkan dalam bekas atau dalam plastik sebelum disimpan dalam freezer. Ia bertujuan daging tidak mengalami proses pembekuan berulang. Selain bakteria akan lebih mudah membiak, tekstur daging juga rosak dan tidak sedap lagi apabila dimasak.

3.Bersih dan cuci daging

Sebaiknya cuci di bawah air mengalir, selepas dicuci elakkan dari meletakkanya di tempat terbuka . Ia akan mengundang pembiakan bakteria dan kuman. Oleh itu, segera masukkan dalam bekas dan terus masukkan dalam freezer untuk disimpan.

4.Simpan dengan bahan perapan

Menyimpan daging yang siap dengan bahan perapan boleh menjadikan daging tahan lebih lama berbanding daging mentah. Bahan perapan paling mudah adalah dengan mengaulkan daging dengan garam, gula , bawang dan kunyit. Ia kerana bahan perapan bersifat antibaktria dan pengawet pada makanan. Secara tidak langsung ia menjimat masa memasak. Setelah dikeluarkan dari freezer anda boleh terus masak tanpa perlu menyediakan bahan perapan lagi.

5.Jangan cairkan daging beku dengan menggunakan air panas

Iklan

Elak menggunakan air panas untuk menyahbekukan daging anda. Hal ini demikian kerana menggunakan air panas tidak akan memberikan pembahagian haba yang sekata yang menyebabkan luaran daging sahaja yang dinyahbeku. Cara yang betul adalah meletakkan daging beku di bawah air paip suhu normal (dalam keadaan daging masih terbungkus rapat dalam plastik). Setelah daging kembali empuk, buka plastik, cuci daging hingga bersih, toskan, dan daging sedia untuk dimasak.

6.Simpan dalam bekas bertutup

Anda wajib menyimpan daging dalam bekas bertutup , ia supaya daging tidak mudah dicemari bakteria yang ada dalam peti sejuk atau bahan-bahan lain yang ada dalam peti sejuk. Jika dimasukkan dalam plastik, anda perlu balutnya dengan kemas.

7.Perhati suhu freezer anda

Iklan

Kalau anda mahu daging yang segar, perhati suhu freezer anda. Suhu yang dingin boleh membunuh bakteria. Suhu minimal yang disarankan ialah kurang dari 18 celcius.

Semoga bermanfaat.

PENULIS: NURUL ADRIANA
FOTO: FACEBOOK