BERSAMA Pakar Motivasi, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad

SOALAN

Saya seorang ibu yang mempunyai anak berpenyakit. Bukan seorang, tetapi tiga orang.
Salah seorang daripada mereka anak autisme, seorang lagi hiperaktif dan yang bongsu menghidapi asma.

Dugaannya cukup besar dari segi kewangan dan kos menguruskan mereka.
Saya hanya bekerja sebagai kerani di sekolah rendah. Kadang-kadang sampai satu tahap, saya penat, tertekan, ditambah suami yang jenis tidak membantu.

Saya juga tidak malu untuk mendedahkan bahawa suami jenis kaki dadah. Bagaimana saya mahu menguatkan semangat demi anak-anak?

IBU ANAK TIGA, 33
Sungai Buloh, Selangor

JAWAPAN

Pertama sekali, kita perlu yakin dan percaya bahawa setiap ujian atau cabaran yang diberikan oleh ALLAH, semua itu sebenarnya buat insan terpilih dan pengadu adalah salah seorang daripadanya.

Dalam Surah Al-Baqarah, ayat 286 sudah jelas menyebut ALLAH tidak akan membebankan seseorang itu lebih daripada kesanggupannya.

Barangkali jika nasib serupa menimpa orang lain, mereka tidak mampu menanggungnya seperti yang dilalui pengadu.

Namun begitu, ia tidak berlaku kepada wanita ini kerana ALLAH lebih tahu dirinya mempunyai jiwa yang kuat untuk berdepan dengan semua itu.

anak sakit suami dadah

Setiap ujian dan tekanan hidup yang dialami oleh kita juga, biasanya orang ramai hanya mampu berempati dan bersimpati dengan nasib yang dilalui, tetapi mereka tidak mampu untuk menolong buat selama-lamanya.

Maka, percayalah di sebalik ribut taufan yang melanda, akan datang pelangi. Mungkin dalam kalangan anak yang dijaga, mereka boleh belajar dengan cemerlang dan menjadi orang yang berjaya pada suatu hari nanti.

Insya-ALLAH, anak-anak inilah yang berjaya nanti akan dapat membantu membawa pengadu keluar daripada kepompong kesusahan.

Iklan

Saya cukup memahami keadaan pengadu kerana mempunyai pengalaman sama apabila ibu sendiri menjadi ibu tunggal dan membesarkan anak kurang upaya.

Ya, bukan mudah untuk kekal positif dengan masalah yang dilalui, namun yakinlah bahawa sebenarnya ALLAH lebih menyayangi kita.

anak sakit suami dadah

Sebab itu kalau boleh, saya mahu menyarankan kepada pengadu untuk membina kumpulan sokongan kerana dalam kehidupan ini, kita tidak berseorangan, masih ada orang lain yang berdepan situasi sama dengan kita.

Iklan

Berkongsilah masalah bersama individu yang boleh dipercayai dan berbincang untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Sebenarnya, masih ada insan di luar sana yang diuji dengan dugaan lebih teruk lagi, bahkan lebih dahsyat sehingga tidak boleh diterima akal. Justeru, kita perlu bersyukur tidak diuji sedemikian rupa.

Yakin dan percaya dengan kebesaran ALLAH dan terus kuat berpaksikan kepada DIA yang satu, insya-ALLAH pada suatu hari nanti, kejayaan, ketenangan dan kebahagian menjadi milik anda.

Kita perlu yakin dan percaya sepenuh hati bahawa ALLAH akan membuka jalan penyelesaian terbaik.