TERUJA apabila tersenarai sebagai penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang disediakan kerajaan demi meringankan beban sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP), namun anda perlu berhati-hati.

Jangan dedahkan maklumat peribadi jika menerima sebarang khidmat pesanan ringkas (sms) atau mesej dalam talian meragukan yang kononnya meminta untuk mengemas kini butiran diri.

Ini kerana, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan penipuan (scam) dalam talian atau sms.

Jangan dedahkan maklumat kewangan peribadi termasuk nombor kad pengenalan dan akaun bank kepada pihak yang diragui.

SCAMMER
JANGAN dedahkan maklumat peribadi jika menerima sebarang khidmat pesanan ringkas (sms) atau mesej dalam talian meragukan.

Dalam masa sama, satu kenyataan media yang dikeluarkan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), agensi terbabit memaklumkan dua perkara penting untuk golongan golongan B40 dan M40.

“Golongan B40 yang telah menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) sebelum ini tidak perlu membuat permohonan untuk Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

“Begitu juga kepada golongan M40 yang telah mempunyai data cukai pendapatan dengan LHDNM, tidak perlu membuat pendaftaran bagi permohonan BPN,” ujarnya.

Ini kerana menurut kenyataan itu, penerima BSH layak menerima BPN secara automatik manakala golongan M40 yang mempunyai data cukai pendapatan dengan LHDNM pula akan dinilai berdasarkan jumlah pendapatan dan kriteria lain yang ditetapkan kerajaan.

“Semakan status penerimaan BPN boleh dilakukan secara dalam talian mulai 1 April lalu dengan melayari portal rasmi LHDNM di https://www.hasil.gov.my atau https://bpn.hasil.gov.my.

“Sekiranya status semakan adalah ‘tiada rekod’, orang ramai boleh membuat permohonan baharu dengan klik butang ‘Permohonan Baru’,” katanya memaklumkan permohonan baharu secara dalam talian adalah dibuka sehingga 30 April ini.

Iklan
SCAMMER
ORANG ramai diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan penipuan atas talian dan merujuk kepada LHDN untuk maklumat lanjut.

Orang ramai hanya perlu mengikuti langkah mudah seperti berikut untuk semakan penerimaan BPN:

  1. Masukkan Nombor Kad Pengenalan (No I/C)
  2. Masukkan kod captcha yang diberikan
  3. Keputusan akan dipaparkan.

Orang ramai diingatkan bahawa tiada permohonan secara manual menggunakan borang setakat ini memandangkan semua premis LHDNM ditutup sementara sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.

Sementara itu, bagi permohonan yang tidak berjaya, rayuan boleh dikemukakan secara dalam talian dengan melayari portal rasmi LHDNM di https://www.hasil.gov.my atau https://bpn.hasil.gov.my bermula 3 April lalu.

Iklan

Bagaimanapun, memandangkan trafik capaian ke portal-portal rasmi yang dinyatakan di atas adalah amat tinggi buat masa ini, orang ramai mungkin menghadapi kesukaran untuk membuat semakan.

Orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan di luar waktu puncak. Segala kesulitan yang timbul amatlah dikesali. Untuk rekod, bayaran BPN akan dilakukan secara berperingkat pada bulan April dan Mei ini.

Sebagai memberikan kemudahan kepada pelanggan, sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan juga boleh dimajukan kepada LHDNM melalui:

  1. a) HASiL Live Chat
  2. b) Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/
  3. c) Media Sosial Rasmi LHDNM https://www.facebook.com/LHDNM atau https://twitter.com/LHDNMofficial