TIADA rumah tangga yang bebas daripada ujian. Namun percayalah setiap ujian pasti ada jalan penyelesaiannya.

Rumah tangga yang bahagia adalah yang mampu menghadapi ujian bersama-sama dan tetap berpegang teguh kepada syariat-Nya.

Kata orang, suami diuji ketika berharta selain waktu isteri mengandung, berpantang, sakit serta kurang cantik seperti anak dara dulu.

Isteri pula diuji ketika suami tidak berharta.

Namun setiap ujian pasangan mestilah saling menyokong antara satu sama lain kerana itu sahaja yang boleh menguatkan hubungan.

Seperti perkongsian Ustaz Firdaus Mokhtar ini yang sering teringat pesan umminya bahawa hanya Allah tempat untuk diceritakan isu rumah tangga.

“Cerita hal rumah tangga ini dengan Allah. Dia yang izinkan ujian ni, Dia juga ada jalan selesaikan. Jadi minta dengan Dia.

“Rumah tangga mana yang tidak diuji Tuhan. Mesti ada sahaja yang Tuhan beri, supaya kita suami isteri saling bergandingan selesaikan setiap liku ujian.

“Maka, atas setiap ujian, suami isteri kena sama-sama berdoa dan merintih, minta Allah yang tolong selesaikan urusan rumah tangga kita,” tulisnya di Facebook.

Menurutnya, ummi beliau turut berpesan setiap isteri, dia ada hati. Kena ingat, hati ini milik Allah.

Iklan

“Kalau hari ini dia marahkan kita, kita cuba pujuk dia tak pedulikan, berdoalah. Kita minta pada yang menjadikan hati isteri tu. Kita merayu pada pemilik sebenar hati tadi. Pada Allah.

“Jangan rasa kita pandai selesaikan semua benda. Tuhan kalau nak bolak-balikkan hati, bila-bila Dia boleh buat.

“Sekarang isteri marahkan kita, kita minta Tuhan lembutkan hati dia dan terima maaf kita.

“Buat sedikit tebus dosa kita, pergi sedekah atau pergi cuci tandas masjid contohnya. Lepas tu cubalah berbincang balik. InsyaAllah Tuhan akan mudahkan. Kan hati itu milik Dia,” ujarnya.

Pesan Ustaz Firdaus kepada suami isteri, jangan menceritakan masalah kepada kawan berlainan jantina.

Iklan

“Jangan sekali-kali pergi bercerita masalah rumah tangga kita ke kawan-kawan berlainan jantina, yang tak ada kena mengena hubungan dengan kalian.

“Suami keluar rumah, pergi cerita dekat kawan perempuan. Bukan selesaikan masalah, ini menambah beban.

“Begitu juga isteri, jangan bawa cerita gaduh dengan suami kepada bos lelaki dekat pejabat. Masuk mulut buaya namanya.

Baca juga Kajian Covid-19: Mampu jejas kesuburan lelaki

“Setiap ujian rumah tangga, penghujungnya suami dan isteri semakin mengenali kekurangan diri. Bertambah pandai juga menerima setiap yang lemah.

“Tuhan tak akan sia-siakan setiap benda yang terjadi. Sekalipun sebuah kisah pergaduhan dalam rumah tangga. Mesti ada benda baik di hujungnya nanti. Percayalah!” ujarnya.

Ujian rumah tangga akan datang dari segala arah, bersedialah untuk menghadapinya.