ORANG kata, peribadi anak-anak adalah cerminan ibu bapa mereka.

Jika didikan yang diberikan baik dan sempurna, maka lahirlah permata yang bukan sahaja dapat membanggakan keluarganya, malah kepada masyarakat dan tanah air.

Ya, benar, cabaran membesarkan anak di zaman milenial bukan perkara yang mudah.

Justeru, apa yang perlu ibu bapa perlukan? Menjawab pertanyaan itu, Pegawai Perubatan, Hospital Seremban, Dr Ahmad Luqman Bukhari baru-baru ini memberi panduan khusus bagaimana untuk menjadi ibu bapa yang hebat.

Berikut huraiannya:

i. Ibu bapa perlu perbanyakkan senyuman dan sentiasa bercakap lemah lembut dengan anak.
– Ada waktunya ibu bapa perlu bertegas, tetapi bukan bermakna boleh menengking si kecil.
– Kena ingat, segelintir kanak-kanak suka terjerit-jerit kerana mewarisi sikap ibu dan ayah yang kerap meninggikan suara apabila bercakap. Maka, berwaspadalah.

Baca juga Perasaan marah membuak-buak. Sabar! Cara ini boleh elak diri jadi panas baran

ii. Jaga percakapan yang keluar dari mulut apabila bercakap depan anak.
– Ibu bapa perlu mengawal pertuturan walaupun tengah marah.
– Kata-kata atau perkataan yang dilontarkan oleh lidah ibu bapa akan menjadi doa, sekali gus memberi kesan berpanjangan dalam hidup si anak.

iii. Selalu peluk dan cium anak.
– Pelukan dan ciuman akan membuatkan mereka rasa dihargai.
– Masakan tidak, hatinya merasa lebih dekat dengan ibu bapa, malah segala nasihat mudah untuk anak dengar dan taat.

iv. Luang masa bercerita dengan anak dan juga mendengar ceritanya.
– Jangan terlalu leka dengan dunia sendiri sehingga anak lebih cenderung menceritakan masalahnya dengan orang luar.

Iklan

v. Ibu bapa perlu buat dahulu apa yang kita nak anak lakukan.
– Mahu anak rajin belajar, ibu bapa pun kena tunjukkan kerajinan menimba ilmu.
– Kalau mahu anak rajin baca al-Quran, ibu bapa pun perlu sentiasa perbanyakkan masa dengan membasahkan lidah membaca kitabullah.
– Jika mahu anak rajin mengemas, ibu bapa juga perlu ringan tulang dan ajak anak untuk mengemas bersama-sama.

Pada masa sama, ujar Dr Ahmad Luqman, kadangkala anak-anak sukar mahu mendengar apa yang ibu bapa mereka cakap, tetapi mereka lebih mudah mengikut atau meniru perkara yang selalu dilakukan mereka.

Iklan

Justeru, pentingnya didikan sewaktu golongan itu masih kecil. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Segala yang dikongsikan pegawai perubatan itu, diharapkan dapat dijadikan tip untuk ibu bapa di luar sana terutama yang masih muda lagi.

Bersabarlah sedikit ya dalam mencorakkan anak kita. Anak adalah anugerah terindah daripada YANG MAHA ESA kepada kita.