ADUH! Mana satu ikan selar? Mana satu ikan kembung ini? Matilah 'orang rumah' marah nanti kalau salah beli.

Nampak agak melucukan tetapi itulah hakikat yang terpaksa golongan suami hadapi apabila terpaksa membeli barangan dapur seorang diri.

Jika sebelum ini hanya menjadi tukang angkat barang atau lebih nampak maskulin, si tukang bayar sahaja tetapi apabila disuruh membeli ikan sekali pun, satu kerja yang cukup berat!

Nah! Lihatlah banyak perkongsian dibuat dalam hantaran di media sosial apabila si suami bagaikan dalam pertandingan mencari harta karun dengan senarai barang di tangan.

Suasana itu barangkali jarang-jarang berlaku apabila hanya ketua rumah sahaja dibenarkan keluar membeli barang selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan gara-gara Covid-19 yang melanda negara ketika ini.

pembelian
PERKONGSIAN gambar dalam media sosial yang menunjukkan kegigihan golongan suami mencari barang keperluan dapur seorang diri selepas Perintah Kawalan Pergerakan yang hanya membenarkan ketua keluarga sahaja yang boleh keluar rumah untuk urusan pembelian.

Ada yang terkial-kial memilih ikan, ada juga yang termangu keseorangan apabila tidak ingat jenis barang yang dipesan si isteri.

Ok! jangan risau sang suami semua di luar sana, Sinar Plus akan kongsikan jenis-jenis ikan yang sering dijual di pasaran untuk memudahkan mereka mengecamnya.

Lagi mudah, perkongsian gambar berserta nama ikan yang sering diborong pelanggan dalam laman web tesco.com juga boleh membantu melegakan keresahan golongan suami ketika membeli-belah di pasaraya tersebut.

1. Ikan kembung

ikan kembung

Iklan

Jika masih ada yang keliru, ikan kembung seakan-akan sama dengan ikan mabong sekali pandang. Tetapi sebenarnya, saiz ikan kembung lebih kecil. Sedap dimasak dengan resipi asam pedas atau digoreng begitu sahaja.

2. Ikan selar

ikan selar

Ikan selar ini pun persis ikan kembung, cuma yang membezakannya adalah garisan berwarna kekuningan di bahagian badan. Sedap digoreng dan digandingkan dengan juadah masak lemak cili padi. Fuhhh menyelerakan!

Iklan

3. Ikan sardin

ikan sardin

Pasti ramai yang mengenali ikan sardin ini yang sering digunakan dalam masakan kuah laksa. Ikan sardin juga mudah dimasak untuk resipi masakan sambal kicap atau goreng berlada.

4. Ikan cencaru

ikan cencaru

Ikan cencaru paling senang dikenali dek kulitnya yang tebal. Lazat dimasak dengan resipi sumbat sambal dan dibakar atau dicicah dengan air asam. Pasti bertambah-tambah nasi jika dihidangkan panas-panas.

5. Ikan mabong

ikan mabong

Seperti ikan kembung, ikan mabong juga enak digoreng begitu sahaja. Namun bagi yang kreatif, ikan ini boleh dimasak untuk pelbagai resipi termasuk masak asam rebus, taucu atau sambal tumis!