MENJADI ibu bapa bukanlah sesuatu yang mudah. Banyak ilmu yang perlu dipelajari lebih-lebih lagi kepada mereka yang baru berumah tangga.

Pun begitu, kadang-kadang pengalaman juga boleh mengajar kita untuk menjadi ibu bapa yang lebih berhati-hati dalam mengendalikan anak-anak terutamanya masih bayi.

Perkongsian seorang ibu, Faranem Rosmadi menarik perhatian ramai. Itu semua gara-gara beliau telah menyapu minyak angin pada hidung bayinya.

Informasi daripada pengalamannya disifatkan warganet membantu dan memberi peringatan kepada mereka bahawa mengoles sebarang minyak berbahaya, waima pada batang hidung sekalipun.

Baca juga Minyak panas tak boleh disapu sembarangan pada bayi. Selain sawan, ini impak buruk lain

Terlebih dulu, Faranem yang jua seorang jururawat berkata, beliau menyimpan kekuatan untuk bercerita kejadian yang berlaku pada tahun lalu demi memberi ilmu kepada ibu bapa lain, walaupun masih trauma dengan kejadian itu.

Ujar wanita berkenaan, ketika anaknya, Ayad Fayash berusia 20 hari, pernafasan si kecil itu berbunyi seperti menampakkan hidung tersumbat.

“Saya sedang menukar lampin anak kira-kira jam 1.30 tengah hari. Pada waktu itu, saya menyapu minyak menggunakan jenama yang dicadangkan seorang bidan.

“Tak sampai beberapa saat, muka Ayad bertukar merah, mulutnya berbuih, malah suaranya seperti tercekik.

“Saya cepat-cepat memanggil umi dan abah sebab terlalu panik, saya cuba juga basuh muka Ayad tetapi masih sama,” katanya menceritakan suasana panik yang berlaku ketika beliau masih berpantang di Balok, Kelantan.

Ketika dalam perjalanan ke klinik, mulut bayi tersebut masih berbuih dan disertai dengan darah.

Baca juga Pelitup hidung diperkenal Korea Selatan sesuai dipakai ketika makan

Melihat situasi cemas itu, beliau terdetik untuk melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) ke atas bayinya.

Menurut Hello Doktor, CPR biasanya dilakukan oleh golongan terlatih apabila degupan jantung seseorang itu terhenti.

Kaedah berkenaan boleh menyelamatkan nyawa berikutan ia boleh mengekalkan aliran darah semasa jantung berhenti berdegup sebelum golongan profesional tiba memberikan rawatan yang sepatutnya.

Pun demikian, tindakan Faranem menyebabkan anaknya kembali menangis.

Iklan

Tidak mahu cepat putus asa, beliau menepuk belakang Ayad dan melakukan CPR sekali lagi.

Beliau sempat berpesan bahawa teknik CPR orang dewasa dan bayi berlainan.

Sebaik tiba di klinik, Ayad diberikan alat bantuan pernafasan dan sekiranya ada masalah lain, si kecil itu akan terus dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan.

BAHAYA MINYAK ANGIN PADA BAYI

Beritahu Faranem, beliau telah dimarahi oleh pakar perubatan di atas kecuaiannya menyapu minyak angin pada hidung anaknya.

Iklan

“Pakar memaklumkan, bayi bawah umur tiga bulan tidak boleh disapu sebarang minyak angin atau minyak dengan jenama itu.

“Minyak tersebut akan menyekat saluran pernafasan kerana pada umur itu, bayi bernafas melalui hidung. Mulut yang berbuih itu disebabkan bayi berusaha bernafas melalui mulut,” kongsi wanita itu.

Sejak kejadian berkenaan, kata Faranem, beliau trauma dan akan sentiasa berjaga-jaga setiap kali anaknya tercungap atau pernafasannya lain daripada biasa.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Sesungguhnya, beliau bersyukur kepada ALLAH SWT apabila tergerak melakukan CPR dan tindakan itu berjaya menyelamatkan nyawa si anak.

Kepada anda di luar sana, diharapkan kisah Faranem dapat memberi pengajaran kepada semua ibu bapa di luar sana supaya lebih peka mengenai perkara yang boleh atau perlu dielakkan.

Seperkara, minyak yang digunakan oleh orang lain, tidak semestinya elok juga untuk bayi anda. Nasihat SinarPlus, lebih baik dapatkan nasihat doktor sebelum gunakan apa-apa.