BERHATI-HATI! Varian Omicron yang diisytiharkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai varian yang membimbangkan (variant of concern – VOC) telah dikesan di negara kita.

Kes pertama di Malaysia itu melibatkan seorang pengembara bukan warganegara berusia 19 tahun yang tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November 2021.

Seperti yang diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (KJ)dalam sidang media sebentar tadi, ini info lengkap mengenainya;

1. Merupakan seorang pelajar di sebuah universiti swasta di Ipoh, Perak dan telah menjalani ujian RT-PCR COVID-19 setibanya di pintu masuk antarabangsa KLIA.

2. Kes telah diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan menjalani kuarantin wajib di penginapan yang disediakan oleh pihak universiti di Ipoh.

3. Perjalanan kes dari KLIA ke Ipoh adalah menggunakan bas yang disediakan khas oleh pihak universiti.

4. Kes menjalani kuarantin seorang diri di penginapan tersebut dan berdasarkan siasatan yang dijalankan, pelajar itu patuh kepada perintah yang dikeluarkan.

Baca juga Tular Jangkitan Covid-19 Varian Omicron Di Perak, Ini Kata KKMM

Omicron

Iklan

5. Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengesahkan sampel ujian saringan berkenaan positif Covid-19 dengan CT Value 26.68 pada 20 November lalu.

6. Kes meneruskan pengasingan di rumah yang sama selama 10 hari dan diberi pelepasan pada 29 November.

7. Pengesanan kontak rapat telah dijalankan ke atas semua penumpang bas dan pemandu iaitu seramai lima orang.

8. Mereka telah menjalani saringan ujian Covid-19 dan kuarantin wajib dan ujian sampel pertama dan kedua ke atas semua kontak rapat disahkan negatif.

9. Kes adalah lengkap vaksinasi Pfizer-BioNTech pada 29 September di Malaysia dan pulang ke Afrika Selatan untuk melawat keluarga.

10. Sepanjang masa kuarantin, kes tidak mengalami sebarang gejala.

Baca juga WHO Jangka Varian Omicron Terus Meningkat, 23 Negara Telah Dikesan

Justeru, ujar KJ, kerajaan akan terus jaga-jaga. Langkah-langkah yang diambil untuk ketatkan pengawalan seperti;

1. Pengembara yang tiba dari negara berisiko tinggi di pintu masuk antarabangsa KLIA akan dipakaikan peranti pengesan (Digital tracker device) sepanjang tempoh Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (kuarantin).

2. Bagi Gelembung Pelancongan Langkawi, pengembara yang tiba dari negara berisiko tinggi perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19 tambahan iaitu pada hari ke-3 dan ke-5 dari tarikh ketibaan.

Iklan

3. Manakala Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) Singapura diteruskan buat masa ini. Sekatan perjalanan sementara terhadap lapan negara yang dikenal pasti sebelum ini dikekalkan.

Sama-samalah kita terus amalkan pematuhan SOP walau di mana berada. Elakkan berada di kawasan yang dikunjungi ramai.