Oleh MAZLINA ABDUL MAJID

PEJAM celik, pejam pelik, SinarPlus yang merupakan sisipan akhbar utama pilihan masyarakat Malaysia,  Sinar Ahad bakal menyambut ulang tahun yang pertamanya esok.

SinarPlus antara lain memaparkan rencana gaya hidup meliputi kisah masyarakat, kesihatan, famili, fesyen, dekorasi, kecantikan, personaliti, hiburan tempatan dan antarabangsa, pelancongan serta makanan. Selain itu, sidang redaksi turut menyajikan panduan resipi unik, dunia permotoran, produk-produk terkini termasuk gajet.

Kesemua segmen berkenaan bersifat menyeluruh, segar, sahih, padat, bermutu dan penggunaan gaya bahasa berkualiti serta mudah difahami. Pendek kata, kriteria-kriteria itu memenuhi selera dan kehendak masyarakat pada era ini.

ULANG TAHUN SINARPLUS

Meskipun mengharungi detik-detik sukar akibat wabak Covid-19 ketika mula dilancarkan pada 1 Mac tahun lalu, SinarPlus berjaya merentas cabaran itu dengan jayanya.

Selebriti terkemuka negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menjadi figura pertama menghiasi muka depan SinarPlus.

Ia diikuti dengan nama-nama besar dalam bidang masing-masing seperti Dr Amalina Che Bakri, Amy Search, Farah Ann Abdul Hadi, Maya Karin dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan, puteri sulung Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Selain hadir dalam bentuk cetakan akhbar pada setiap hujung minggu, SinarPlus juga aktif menerusi platform online seperti laman web (sinarplus.sinarharian.com.my), Facebook (SinarPlus dengan 510,078 pengikut), Instagram (@sinarplus), Twitter (@sinarplus) dan TikTok (@sinarplus).

Bermula pada Mac juga, wadah akhbar berpengaruh ini diperluaskan dengan pengenalan Sinar Islam Plus yang bakal mengupas isu-isu kontemporari dan gaya hidup terkini menurut perspektif Muslim dari dalam dan luar negara secara menyeluruh melalui pendekatan yang lebih objektif dan pragmatik.

Sempena ulang tahun yang pertama ini, SinarPlus bakal menganjurkan program khas yang dinamakan Yass Satu Tahun Yang Awesomeness khas untuk para pembaca yang setia bersama kami sejak awal penubuhan sisipan ini.

ULANG TAHUN SINARPLUSBermula pada jam 7 pagi hingga 10 malam, Facebook SinarPlus akan bersiaran selama 15 jam lamanya dengan susunan program menarik.

Selepas segmen Soal Jawab Netizen (SJN) dan Petua Dari Rumah edisi terbaik, kami ingin menyuntik aura pagi pembaca untuk menyertai program SJN Agama yang disiarkan secara langsung tepat jam 8 pagi. Tetamu jemputan terdiri daripada pendakwah selebriti yang juga sepasang suami isteri, Ustaz Muhidin Mokter dan Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki.

Interaksi

Pelayar SinarPlus yang lama atau baharu turut diajak berinteraksi dengan mereka dengan memanjangkan soalan ketika program live berlangsung. Tanyalah apa sahaja, insya-ALLAH segala persoalan tentang agama akan dijawab.

ULANG TAHUN SINARPLUS

Selepas SJN Agama mengambil tempat, SJN Sihat Cantik pula memberi peluang kepada penonton mempelajari sentuhan mekap yang betul dari aspek kesesuaian warna pada wajah, teknik pemilihan produk dan variasi tip lain. Untuk segmen ini, SinarPlus membawakan jurumekap popular, Mea Sukri yang menjadi pilihan ramai selebriti ternama.

Kepada anda yang gemar dengan topik rumah tangga, SJN Rahsia Rumah Tangga menjemput pakar motivasi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Hushim Motivational & Counselling Consultancy, Hushim Salleh.

ULANG TAHUN SINARPLUS

Iklan

Sama seperti program SJN Agama, SJN Sihat Cantik dan SJN Rumah Tangga turut memberi ruang kepada pelayar melontarkan apa sahaja soalan.

Istimewa sempena ulang tahun pertama ini juga, rancangan Borak Bibir Merah (BBM) yang semakin menjadi perhatian ramai akan tampil lebih eksklusif lagi. Dihoskan oleh pengacara Fiza Frizzy dan Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad, BBM akan mengetengahkan tajuk hangat iaitu Dominasi Wanita, Lelaki Tercabar?

Dalam segmen pertama, Fiza akan mewawancara Pengarah Eksekutif Menara Rezeki Sdn Bhd, Datuk Nurul Zahid diikuti dengan selebriti, produser filem dan teater, ahli perniagaan yang juga idola ramai rakyat Malaysia, Puan Sri Tiara Jacquelina.

ULANG TAHUN SINARPLUS

Tiara antara lain turut akan menyentuh peranan, perspektif dan cabaran wanita di peringkat global sesuai dengan sambutan Hari Wanita Sedunia, 8 Mac depan.

Untuk mereka yang mempunyai kemusykilan tentang kesihatan, apa kata anda membuat temu janji dengan kami untuk menonton SJN Medik pada jam 5 petang.

Iklan

Sebagai tambah nilai, kami bakal menayangkan video inspirasi The Story of Datuk Aznil Nawawi. Jangan lepaskan peluang menyaksikan sorotan hidup selebriti tersohor itu dan misi dan visinya membantu generasi muda.

ULANG TAHUN SINARPLUS

Di samping program-program yang menarik yang dipaparkan secara langsung menerusi Facebook Live SinarPlus, sebagai tanda penghargaan kepada pembaca, kami menyelitkan program Happy Hour!-SinarPrise pada waktu-waktu tertentu. Pelbagai hadiah menarik bakal anda peroleh termasuk wang tunai!

Namun, kemuncaknya pada pukul 8.30 malam. Selama sejam, kami mengajak semua pelayar mengambil bahagian dalam program $inarPulu$ yang pastinya menyediakan hadiah yang lebih lumayan.

Sehubungan itu, pastikan anda mempunyai pengetahuan am yang luas dan mengenali lebih rapat sisipan SinarPlus!