MENGHADAPI situasi ‘terkurung’ di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai yang menyarankan pelbagai kaedah supaya suasana kehidupan tidak terus lesu.

Masakan tidak, jika setiap hari tiada siapa yang ‘marah’ hendak bangun jam berapa, pakai pula hanya baju tidur semalaman, dengan gigi tak berberus dan rambut kusut masai misalnya, sudah pastilah hidup sesendu suasana di luar kediaman kita pada musim Covid-19.

Menyahut seruan supaya tidak terus ‘hanyut’ di rumah, seorang wanita dari Wangsa Maju, Kuala Lumpur, Lavina Jacinta berkongsi aksinya sebagai seorang suri rumah yang vogue ketika mempraktikkan saranan Work From Home (bekerja dari rumah).

Gayanya yang bersahaja sambil melakukan pelbagai kerja rumah dengan berpakaian seperti seorang model amat mencuit hati hinggakan statusnya di laman sosial berkenaan mendapat lebih 35,000 perkongsian di Facebook.

Bergaun pendek tanpa lengan yang berwarna hitam, dengan selendang putih di dada di samping berkasut tinggi selain mekap yang mampan, agak menerujakan rata-rata netizen yang melihatnya.

Ditanya tentang penampilannya itu, Lavina, seorang Language Trainer di Pusat Pembangunan Tenaga Manusia Selangor (SHRDC) itu berkongsi, biarpun terdapat sedikit kebenaran dalam kenyataan bahawa wanita seharusnya tampil berpakaian kemas ketika bekerja dari rumah, namun cara penyampaian mesej tersebut haruslah efektif.

“Cara penyampaian mesej yang ‘tidak kena’ lazimnya menyebabkan ramai dalam kalangan feminist akan ‘terasa’,” katanya kepada Sinar Plus hari ini.

Justeru pentingnya penekanan kepada subjek yang tepat dalam penyampaian sesuatu mesej.

Pun begitu, bagi Lavina, perkongsiannya itu hanya sebagai parodi yang mana hanya ingin menyampaikan kepada pelajar program komunikasi beliau bahawa ia bukanlah semata-mata kandungan mesej.

“Namun apa yang lebih saya tekankan lebih kepada cara penyampaian mesej tersebut yang selalunya membawa impak ketika berkomunikasi atau tidak.

“It’s not so much the content, it’s how you put it across to various people with different levels of understanding (Ia bukan hanya sebab kandungan mesej, ia bagaimana cara anda menyebarkannya kepada pelbagai orang dengan tahap pemahaman yang berlainan),” katanya.

Ditanya empunya diri berkenaan perkongsiaannya yang dimuatnaik di status Facebooknya sejak semalam itu, menurutnya dirinya sendiri tidak menyangka mendapat maklum balas ‘hangat’ pelayar di laman sosial.

Realiti

LAVINA bersama suami dan anak tersayang.

Iklan

Bagaimanapun si cantik berusia 40 tahun ini mengakui, hakikatnya di dalam realiti bukanlah mudah untuk seseorang wanita bergaya sakan seperti dengan lipstik tebal, maskara di mata, memakai kasut tumit tinggi selain berpakaian rapi seperti ke pejabat.

Apatah lagi dalam masa sama perlu melayan keperluan suami dan anak-anak ketika berada di rumah seperti semasa PKP.

“Bagi saya, sekiranya anda mempunya pembantu di rumah, bolehlah anda bergaya sedemikian. Realitinya, wanita sendiri di rumah lazimnya lebih selesa tanpa mekap di samping berpakaian yang selesa.

“Saya sendiripun biasanya jika duduk di rumah lebih gemar berseluar trek dan berbaju-T,” kongsi guru Bahasa Inggeris berbangsa India ini.

Iklan

Bagaimanapun baginya, jika seseorang pengajar atau guru itu mengajar kelas menggunakan medium atas talian, sudah tentulah terdapat keperluan untuknya menghias diri.

Itu kongsi Lavina yang mempunyai seorang cahaya mata bernama Calysta Rose, 5 tahun, bersama suaminya, Manoharan ini.

Baru-baru ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga ada menyarankan tip untuk wanita menjaga penampilan diri semasa di rumah.

Walaupun Lavina bersetuju dengan cadangan itu, beliau turut meluahkan pendapat supaya tip tidak hanya menumpukan kepada golongan wanita.

Sebaliknya, kempen dan perkongsian tip berkaitan boleh diperluaskan kepada golongan lelaki, selain mencakupi segenap peringkat hiraerki masyarakat.