PEROKOK dan penghisap vape mungkin memberikan nikmat, puas, rasa lega dan segar sebentar. Tidak sekadar merosakkan paru-paru, golongan ini juga berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.

Risiko jangkitan Covid-19 meningkat antara lima hingga tujuh kali ganda lebih mudah berbanding individu yang tidak berbuat demikian.

Jangkitan bagi perokok dan penghisap vape mudah berlaku disebabkan faktor selain sentuhan tangan ke bahagian mulut, berkongsi rokok atau peranti vape dan kerap kali membuka pelitup muka untuk merokok atau menghisap vape.

Berisiko alami gejala yang teruk

Menurut Pakar Perubatan Keluarga Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Nur Suhaila Idris berkata, apabila seseorang itu merokok atau menghisap vape, mereka amat mudah dijangkiti Covid-19 dan berisiko teruk disebabkan kesan merokok atau menghisap vape yang menjejaskan bahagian paru-paru.

Katanya, sekiranya mereka masih lagi mengamalkan tabiat merokok, ia secara tidak langsung akan membahayakan nyawa mereka sendiri.

“Justeru, saya menyeru kepada perokok atau penghisap vape supaya mengambil peluang di bulan Ramadan ini untuk berhenti kerana dengan kebolehjangkitan Covid-19 yang semakin tinggi menyebabkan mereka lebih berisiko tinggi untuk dijangkiti,” kata Suhaila dalam webinar menerusi Facebook USM yang tajuk Covid-19 di Kelate: Gapo Hok Kena Tahu.

 Segera dapatkan konsultasi perubatan

Iklan

Jangkitan Covid-19 akan menunjukkan simptom tertentu yang luar biasa kepada perokok dan penghisap vape. Sekiranya berlaku, jangan berlengah merujuk kepada pakar perubatan.

“Antara gejala lain menunjukkan seseorang dijangkiti wabak Covid-19 ialah demam, sakit kepala, batuk, sesak nafas, cirit-birit, muntah, loya, sakit tekak, hidung tersumbat, selesema, hilang deria rasa dan deria bau secara akut.

“Sekiranya ada gejala itu, segeralah mendapatkan konsultasi dengan doktor atau mana-mana pakar perubatan bagi mengelakkan risiko jangkitan kepada orang di sekeliling kerana dalam pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir, situasi itu tidak boleh dianggap perkara biasa,” kata Suhaila.

Iklan

Diharapkan para perokok dan penghidap vape mengambil tindakan terbaik sempena Ramadan ini dengan memulakan misi untuk berhenti secara berperingkat demi kesihatan diri dan. Semoga Covid-19 mampu dibendung. Kita jaga kita.

Sumber: USM Kampus Kesihatan