SEHARI dua lalu tular mengenai kenyataan berita tentang risiko penyebaran virus menerusi gas kentut.

Kononnya penelitian oleh sekumpulan doktor, wabak nombor satu dunia Covid-19 dikatakan boleh tersebar melalui proses kentut.

Dakwaan itu kerana penelitian mendapati banyak virus di dalam najis lebih daripada separuh daripada pesakit wabak berkenaan yang mereka rawat.

Lebih menakutkan laporan yang ditulis Dailystart.co.uk itu turut memberitahu kentut mempunyai zarah kotoran yang mampu menyebarkan bakteria tertentu.

Barangkali khuatir dengan penularan perihal tersebut yang boleh menimbulkan salah fahaman orang ramai, laman Facebook Public Health Malaysia (PHM) turut berkongsi jawapan tentang dakwaan berkenaan.

Agak mencuit hati, 'poster' berkaitan juga dihasilkan bagi memberikan fahaman sebenar tentang dakwaan tidak tepat berkenaan.

Iklan

Berikut antara perkongsian jawapan PHM dalam status di muatnaik di Facebooknya:

"Terkini tular mengenai kenyataan berita mengenai risiko penyebaran virus menerusi gas kentut.

Iklan

CDC (Disease Control and Prevention) Beijing telah menafikan kenyataan tersebut dan mengatakan jangkitan hanya mungkin berlaku sekiranya anda menghidu kentut dalam jarak dekat dan individu tersebut membebaskan gas dalam kuantiti yang banyak serta tidak memakai seluar!

Sekiranya semua individu masih berseluar dan berada dalam jarak social melebihi 1 meter, anda tidak perlu bimbang akan perebakan menerusi kentut.

Utamakan jarak sosial 1 meter, anda terselamat dari bau kentut busuk serta kemungkinan mendapat jangkitan."

Diharap tiada lagi salah fahaman yang tidak-tidak mengenai virus menakutkan ini. Semaklah maklumat daripada sumber yang sahih.

Yang penting jaga jarak sosial satu meter dan lebih selamat berada di rumah ya!