SEJAK wabak Covid-19 melanda negara hingga menyebabkan kerajaan terpaksa mengarahkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian Covid-19, pelbagai cerita masyarakat yang menyebakkan rasa di hati dapat didengar.

Ya, buat mereka terutamanya yang bergaji kecil, belum mempunyai pekerjaan tetap, syarikat terjejas dek virus jahat ini, tentulah antara golongan yang menghadapi kesukaran hidup.

Tidak dinafikan ada bantuan kerajaan dan pihak yang prihatin. Hakikatnya, sampai bila hidup perlu bergantung kepada bantuan?

Pasti mereka yang terkesan perlu ‘berhijrah’ atau mengorak langkah untuk mengatur kehidupan.

Putus punca pendapatan

Kisah yang tular kelmarin ini antara yang mengundang ‘habuk masuk di mata’ bagi warga siber dan mendapat perkongsian ramai.

Sepasang suami isteri dengan seorang anak kecil yang menaiki motosikal di lebuh raya didakwa telah ditahan oleh anggota keselamatan barisan hadapan dalam sekatan jalan raya.

Dikhabarkan, sewaktu disoal, si suami menjelaskan bahawa mereka dari Puchong, Selangor menuju ke Kuala Perlis untuk balik ke Langkawi, Kedah.

Terpaksa ‘berhijrah’ hanya dengan menaiki motosikal gaisss…

Dalam perkongsian sama, dikatakan lelaki terbabit juga menunjukkan surat buang kerja dari majikan dan dia sudah putus punca pendapatan akibat PKP.

Jadi keputusan diambilnya dengan nekad untuk pulang ke kampung di Langkawi.

Iklan

“Menitis air mata petugas menahan sebak melihat kepayahan keluarga muda tersebut dengan anak kecil yang masih belum mengerti kesusahan yang ditanggung kedua ibubapanya.

Mereka dilepaskan untuk meneruskan perjalanan mereka.

Semoga mereka selamat sampai ke destinasi.

Kisah itu diceritakan sendiri oleh anggota berkenaan,” kongsi status yang tular itu.

Iklan

Sekiranya benar perkongsian yang tular itu, Sinar Plus juga mendoakan agar urusan keluarga kecil ini dipermudahkan dan dilimpahruahkan rezeki yang lebih baik.

Mungkinkah lebih banyak lagi situasi yang sama perlu didepani selepas ini. Wallahualam. Kita doakan yang baik-baik saja ya

Sumber asal perkongsian itu cuba dikesan Sinar Plus, namun tidak dapat dikenalpasti. -AG