MASYARAKAT kini akur dengan situasi negara yang sedang ‘berperang’ melawan pandemik Covid-19 yang mana menyebabkan pergerakan orang ramai kini turut dihadkan.

Situasi itu menyebabkan anak rantau juga perlu berkorban kerana tidak dapat menjenguk orang tua di kampung terutama menjelang Ramadan seperti kebiasaan dan pasti mengundang sayu.

Bagaimanapun, pelaksanaan peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ‘mengikat’ mereka untuk pulang ke kampung halaman bukan penghalang untuk mengatur urusan harian keluarga di kampung termasuk persiapan Ramadan dari jauh.

Dengan kemajuan teknologi, tidak sukar memanfaatkan segala kemudahan yang ada biarpun jasad tidak berada bersama.

Memetik laporan yang diterbitkan oleh akhbar tempatan, bagi seorang peniaga kek, Nor Aida Mohd Hanafi, 38, aplikasi WhatsApp menjadi medium untuk mereka tujuh beradik yang sebahagian besarnya merantau untuk berhubung dengan ibu bapa mereka di Kota Bharu, Kelantan.

Kata Nor Aida, kini, abang keduanya yang tinggal di Gua Musang menjaga ibu bapa mereka di kampung.

“Abang saya terkandas di kampung apabila PKP dilaksanakan dan dialah yang menjaga ibu bapa, kami adik-beradik akan berbincang dalam kumpulan WhatsApp bagi mencari kaedah terbaik agar mereka tidak perlu bergerak keluar untuk mencari barang keperluan setiap hari.

“Paling mudah ialah menggunakan khidmat penghantar setempat yang boleh dihubungi melalui media sosial untuk tujuan penghantaran barang keperluan dan makanan,” katanya yang kini tinggal di Selangor.

Bagi Khalida Syazwani Khamis, 29, bukan setakat rutin balik ke kampung di Muar, Johor pada awal Ramadan setiap tahun terpaksa dilupakan, malah menu ayam masak kicap ibu untuk juadah kali pertama sahur, juga tidak dapat dijamah kali ini.

“Ibu berusia 51 tahun dan ayah yang berumur 53 tahun adalah OKU selepas kemalangan. Biasanya, saya akan balik setiap bulan, tetapi tidak bulan ini. Kami akan membuat panggilan video kepada orang tua setiap hari untuk mengetahui perkembangan mereka,” katanya.

Khalida berkata bagi mengelak ibu bapanya keluar kerana kawasan itu diwartakan sebagai zon merah, dia telah meminta bantuan saudara-mara dan sepupu yang tinggal berhampiran untuk membantu membeli barang keperluan.

“Ibu dan ayah adalah golongan berisiko, jadi saya pesan kepada mereka supaya hanya berada di rumah sementara saya mengurus segala keperluan dari jauh menggunakan aplikasi WhatsApp,” katanya yang telah lapan tahun tinggal di Selangor.

Bagi Siti Sarah Rusli, 27, petugas barisan hadapan di sebuah pusat kuarantin di Johor Bharu, dia bukan hanya tidak boleh menjenguk ibunya pada Ramadan tahun ini, malah menyentuh ibunya juga dia tidak dapat dilakukan.

Iklan

Sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM) itu berkata sejak PKP, seminggu sekali dia akan mengupah perkhidmatan penghantar untuk membeli barangan dapur dan dihantar kepada ibunya yang tinggal di Benut, Pontian, Johor.

“Tahun ini merupakan kali pertama saya tidak berpuasa bersama ibu, jika habis tugas pun saya perlu dikuarantin 14 hari barulah saya dapat bersama ibu kembali,” katanya yang telah empat tahun menjadi sukarelawan APM.

Berbeza dengan pekerja swasta, Yusnita Khalib, 32, kesedihannya berganda apabila tempat tinggal ibunya di Flat Seri Murni fasa 1 kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 20 April lalu.

Walaupun jarak antara rumah mereka tidak jauh, arahan PKPD menyukarkan dia menghantar makanan dan barang keperluan kepada ibunya, seperti dilakukan setiap hari.

Iklan

“Saya cari ikhtiar dapatkan khidmat penghantar makanan ‘Lalamove’ untuk membawa sedikit bekalan kepada mak, mak ada pelbagai penyakit kronik dan tak boleh banyak bergerak.

“Walaupun menunggu lama, penghantar beri semangat pada saya supaya jangan risau bekalan itu akan sampai ke rumah emak,” katanya yang setiap hari beberapa kali membuat panggilan video kepada ibunya.

Sambil berdoa agar situasi Covid-19 ini segera berlalu, Yusnita berharap rakyat Malaysia terus mengikuti peraturan PKP sehingga rantaian wabak itu benar-benar putus dan keadaan kembali seperti sediakala.

#janganputusasamalaysia