NAMA Lara Khadijah McAfee kini tular malahan menjadi perhatian warganet di media sosial gara-gara surat comel yang khas buat Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mendapat kiriman balas.

Menurut anak bongsu daripada lima beradik itu, dia tidak menyangka akhirnya menerima kiriman sepucuk surat daripada Ketua Pengarah Kesihatan yang tiba di peti surat rumahnya.

“Saya tak sangka perkara ini menjadi realiti. Saya teruja dan gembira. Saya anak ‘frame’ surat itu dan meletakkan di dalam bilik saya,” katanya.

Tambah Lara, ibu bapanya selalu menggalakkan dia untuk meluahkan apa yang terbuku di hati selain merancang menulis lagi surat untuk diberikan kepada ‘frontiliner’.

Rata-rata kenalan ibu bapanya turut tumpang gembira dan bangga atas sokongan yang ditunjukkan buat Dr Noor Hisham dan barisan hadapan negara.

Warganet juga menyifatkan Lara sebagai seorang murid yang pintar dan berani meluahkan idea secara positif serta harus menjadi sumber inspirasi kepada murid lain.

Keberanian dan keprihatinan murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan Seri Budiman itu harus menjadi contoh kepada murid lain yang mana masa yang terluang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipenuhi dengan melakukan aktiviti yang bermanfaat.

Iklan

Selain itu, keberanian adik Lara itu juga mendapat perhatian daripada Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Terengganu (PPDKT), Jelani Sulong yang juga akan menganugerahkannya sebagai Murid Unggul 2020 dalam bidang kemanusiaan.

“Sebelum ini kita telah anugerahkan kepada adik Muhammad Syukur Khamis, 15 yang digelar ‘Kampung Boy’ dan ‘Mowgli Malaysia’ dalam bidang yang sama.

Iklan

“Jadi, tahun ini kita anugerahkan kepada adik Lara pula sebagai pengiktirafan kepadanya,” katanya dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Terdahulu si cilik yang menetap di Terengganu itu menghargai usaha Dr Noor Hisham dalam mengekang wabak Covid-19 malah turut memberikan ‘loom band’ atau gelang getah sebagai tanda salam perkenalan.