BAGI memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan ikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperkenalkan inisiatif jualan ikan secara terus ke rumah melalui pembayaran tunai semasa serahan (COD) di seluruh negara.

Ketua Pengarah LKIM Raja Khalid Raja Ariffin dalam satu kenyataan hari ini berkata, inisiatif jualan ikan itu digerakkan dengan hasil kerjasama melibatkan 44 buah persatuan nelayan seluruh negara di bawah Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT).

Beliau berkata orang ramai yang berminat boleh membuat tempahan ikan itu secara dalam talian di laman sesawang www.nekmatbiz.com.my.

“Inisiatif memasarkan ikan secara terus kepada pengguna diharap dapat membendung kesesakan di pasar dan penyularan wabak Covid-19.

“Saya menyeru orang ramai jangan membeli ikan secara panik kerana bekalan ikan masih mencukupi dan para pengguna harus mempratikkan jarak sosial dan menjaga kebersihan diri sewaktu berkunjung ke Pasar Nelayan mahupun Pasar Segar Terkawal (PST),” katanya.

Raja Khalid berkata LKIM juga akan memulakan inisiatif baharu dalam memasarkan jualan ikan dalam talian iaitu melalui aplikasi Shopee dan selepas ini pengguna boleh membeli ikan atau hasil laut melalui Shopee dan menerima pesanan terus ke depan pintu tanpa perlu ke pasar.

Sementara itu, Raja Khalid berkata bekalan ikan masih mencukupi sepanjang PKP dengan stok dalam pasaran kini sebanyak 185,000 tan metrik berbanding keperluan semasa 155,000 tan metrik sebulan.

Iklan

Sepanjang PKP juga, 64 buah pasar nelayan LKIM di seluruh Malaysia masih beroperasi seperti biasa dengan mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.

“Semua pasar nelayan ini beroperasi dari pagi sehingga tengah hari dengan kawalan keselamatan oleh penguatkuasa LKIM selain dibantu oleh pihak RELA, polis dan tentera,” tambahnya.

Iklan

Raja Khalid berkata, sepanjang PKP dilaksana, pasar nelayan telah mencatatkan jumlah pengunjung seramai 62,887 orang dengan hasil jualan RM2.55 juta.

Kini segalanya di hujung jari bukan? Jadi, orang ramai tidak perlu panik, #juststayathome #janganputusasamalaysia