KERAJAAN memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi bermula 29 April hingga 12 Mei ini.

Perkara itu diumumkan sendiri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada perutusan khas sebentar tadi.

Bagi mengajak rakyat Malaysia melihat keputusan kerajaan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tempoh dua minggu lagi sehingga 12 Mei terutama di bulan Ramadan ini secara positif, Muhyiddin sempat berjenaka dalam ucapan yang dibuat.

“Saudara saudari tidak perlu risau, kalau masakan berbuka puasa tidak jadi pun tak apa. Boleh ‘post’ dalam grup Facebook ‘Masak Apa Tak Jadi Hari Ni’.”

Demikian kenyataan berseloroh beliau dalam perutusan khas sempena Ramadan yang disiarkan secara langsung menerusi kaca televisyen dan media sosial sebentar tadi.

“Mungkin inilah peluang yang ALLAH berikan kepada kita untuk mengamalkan sebenar-benar ibadah puasa.

Iklan

“Tak mengapalah kita tak dapat mendirikan solat terawih secara berjemaah di masjid. Mungkin ini peluang yang Allah s.w.t. berikan kepada kita untuk berjemaah bersama keluarga di rumah. Jika tidak sekarang, bila lagi. Kita jadi imam, anak dan isteri jadi makmum.

Iklan

“Kita berbuka puasa dan bersahur sekadarnya. Makan masakan isteri kita dan tidak membazir. Kalau masakan tak jadi pun tak apa. Boleh ‘post’ dalam grup Facebook ‘Masak Apa Tak Jadi Hari Ni’,” katanya.

Setakat malam tadi, grup Facebook hasil masakan ahli-ahli kumpulan yang tidak menjadi itu sudah mencecah lebih 1.3 juta ahli dan dilihat semakin mendapat sambutan dari hari ke hari.