BILA sahaja tiba bulan Ramadan, seringkali kita terbaca dalam perkongsian sama ada di media sosial atau berlegar dalam kumpulan ‘WhatsApp’ tentang ‘bahaya’ minum air sejuk ketika berbuka puasa.

Antara lain yang turut dikongsikan ialah minum air sejuk ‘boleh merosakkan buah pinggang’.

Secara umumnya, semua hidupan di dunia ini memerlukan air untuk terus hidup, termasuklah manusia.

Menurut Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Nefrologi, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang, Dr Fariz Safhan Mohamad Nor, jika membandingkan antara air panas, air suam, atau air sejuk, tidak ada satupun kajian yang terbukti menyatakan kebaikan air suam berbanding air sejuk, atau sebaliknya.

Lebih-lebih lagi ketika berbuka puasa mahupun bersahur. Segala yang dikongsikan tentang keburukan air sejuk ketika berbuka puasa merupakan ‘pseudosains’, iaitu tidak mempunyai asas saintifik yang betul.

“Air sejuk yang diminum, akan melalui saluran penghadaman. Apabila berada di dalam perut, air yang sejuk akan melalui proses endothermia menjadi suhu badan (37 darjah Celsius) secara semula jadi,” jelas Dr Fariz ketika dihubungi Sinar Plus.

Jadi, air yang bersuhu sejuk itu tidak akan sampai ke dalam salur darah, mahupun buah pinggang dan tidak akan merosakkan organ dalaman atau membekukan lemak yang berada di dalam salur darah.

Iklan

Suhu air yang sejuk tidak ada kaitan dengan penyakit buah pinggang mahupun saluran darah sempit akibat kolesterol.
Bila disebut tentang air bergas, kita akan terbayang sejenis minuman yang tinggi kandungan gulanya.

Sesetengah minuman bergas ini mengandungi sehingga 6 sudu gula untuk setiap gelas yang diminum.

Iklan

Kandungan gula yang terlalu tinggi ini meningkatkan risiko untuk penyakit kencing manis dan seperti mana yang disebut sebelum ini, kencing manis merupakan punca utama kerosakan buah pinggang.

Jadi kesimpulannya, berbuka puasa, bersahur atau pada hari-hari biasa sekalipun, air bergas dan mana-mana air yang tinggi kandungan gula adalah bahaya dan mampu merosakkan buah pinggang tidak kiralah sejuk atau panas.