BARU-BARU ini, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membuat kemaskini tentang soalan-soalan lazim (FAQ) Bil.3 mengenai penambahbaikan Program Subsidi Upah seperti diumum oleh YAB Perdana Menteri dalam Pakej Prihatin PKS (Tambahan) pada 6 April 2020.

Berikutan pengumuman ibarat ‘kek panas’ yang baharu keluar dari ketuhar, ramai yang tertanya-tanya lebih lanjut akan bentuk bantuan tersebut.

Pendek kata ia bagi membantu pekerja dan majikan yang terjejas, tambahan dek ekonomi dan wabak Covid-19.

Bagi yang belum jelas, Perkeso menerangkan lebih mendalam tentang Program Subsidi Upah ini:

1. Apakah Program Subsidi Upah?
• Subsidi Upah adalah bantuan kewangan yang dibayar kepada majikan setiap perusahaan bagi setiap pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah untuk tempoh 3 bulan sahaja.
• Tujuan Program Subsidi Upah ialah untuk membantu majikan yang terkesan dari segi ekonomi akibat Covid-19 supaya dapat meneruskan operasi syarikat serta mengelakkan pekerja hilang pekerjaan dan punca pendapatan bagi semua perusahaan.

2. Bilakah Program Subsidi Upah mula berkuatkuasa dan bila ia berakhir?
• Program Subsidi Upah mula berkuatkuasa pada 1 April 2020.
• Tempoh Program Subsidi Upah adalah selama 3 bulan bermula 1 April 2020 atau mengikut bulan permohonan dikemukakan.
• Tarikh akhir permohonan Program Subsidi Upah adalah pada 15
September 2020.

3. Apakah penambahbaikan Program Subsidi Upah yang diumumkan pada 6 April 2020?
• Program Subsidi Upah yang diumumkan pada 6 April 2020 adalah
menggantikan Program Subsidi Upah yang telah diumumkan pada 27 Mac 2020.

Penambahbaikan Program Subsidi Upah adalah seperti di
Jadual 1 berikut:

4. Siapakah yang TIDAK LAYAK memohon Program Subsidi Upah?
• Majikan atau perusahaan yang mendaftar dan beroperasi pada atau selepas 1 Januari 2020;
• Majikan dan pekerja yang belum berdaftar atau mencarum dengan
PERKESO sebelum 1 April 2020;
• Pekerja yang telah mendapat bantuan kewangan Program Pengekalan
Pekerjaan (ERP) pada bulan yang sama;
• Pekerja yang bergaji bulanan melebihi RM4,000;
• Pekerja yang telah diberhentikan kerja;
• Pekerja sektor awam, badan berkanun persekutuan dan negeri, semua badan berkanun yang diasingkan saraan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan mereka yang bekerja sendiri (tidak mempunyai majikan) termasuk freelancers; serta
• Pekerja asing dan pegawai dagang (expatriate).

5. Bagi permohonan Program Subsidi Upah, apakah dokumen yang diperlukan?
• Dokumen yang diperlukan untuk permohonan Program Subsidi Upah ialah:
i. Senarai nama pekerja (mengikut had kelayakan saiz perusahaan);
ii. Maklumat akaun bank majikan (salinan muka depan penyata bank sahaja);
iii. Maklumat Business Registration Number (BRN) yang didaftarkan oleh majikan ketika pembukaan akaun bank seperti di 5 (ii) di atas. Sila rujuk pihak bank;
iv. Salinan pendaftaran SSM / ROS / ROB / pihak berkuasa perkhidmatan profesional, saintifik atau teknikal / lesen perniagaan;
v. Akuan Pengisytiharan PSU50; dan
vi. **Dokumen sokongan seperti penyata kewangan atau laporan jualan yang telah disahkan oleh pihak pengurusan atau lain-lain dokumen berkaitan.
**Nota: Dokumen sokongan bagi perusahaan bersaiz 76 orang pekerja dan ke atas

6. Apakah yang dimaksudkan dengan maklumat Business Registration Number (BRN) yang perlu diperolehi daripada pihak bank?
• Maklumat Business Registration Number (BRN) adalah maklumat nombor pendaftaran perniagaan majikan yang didaftarkan oleh majikan ketika pembukaan akaun semasa syarikat di bank.
• Majikan perlu mengisi Borang BRN yang perlu dimuat turun dari capaian laman sesawang prihatin.perkeso.gov.my dan memuat naik kembali ke laman sesawang tersebut setelah ianya dilengkapkan.
• Maklumat Akaun Bank dan BRN syarikat seperti di atas diperlukan bagi tujuan pembayaran terus ke akaun majikan secara Electronic Fund Transfer (EFT).

7. Apakah Akuan Pengisytiharan PSU50?
• Akuan Pengisytiharan PSU50 ialah suatu dokumen pengesahan dan aku janji secara bertulis bahawa majikan mengesah atau mengisytiharkan perkara-perkara yang terkandung di dalamnya adalah benar dan betul bagi tujuan permohonan Program Subsidi Upah. Borang ini perlu diisi oleh semua majikan tanpa mengira saiz perusahaan.

8. Kenapakah pekerja yang bergaji RM4,000 ke atas tidak diliputi di bawah Program Subsidi Upah walaupun membuat caruman bulanan Perkeso?
• Program Subsidi Upah adalah peruntukan daripada Kerajaan yang
disalurkan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi (PRIHATIN) untuk
membantu majikan yang terkesan akibat krisis COVID-19 untuk
meneruskan pengoperasian dan mengekalkan pekerja mereka. Program ini juga adalah untuk lebih membantu pekerja dalam golongan B40 yang berpendapatan RM4,000 dan ke bawah.

9. Bagi permohonan Program Subsidi Upah bulan berikutnya, adakah majikan perlu mengemukakan permohonan yang baru bagi tuntutan yang seterusnya?
• Majikan tidak perlu mengemukakan permohonan Program Subsidi Upah yang baru bagi tuntutan kedua dan ketiga. Bagaimanapun, majikan dikehendaki mengemaskini perubahan maklumat setelah mendapat bayaran pertama atau kedua sekiranya berlaku apa-apa perubahan kepada status keaktifan perniagaan atau bilangan pekerja yang layak melalui sistem. Kegagalan majikan tidak melaporkan perubahan tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang.
• Sekiranya berlaku perubahan pada senarai nama pekerja, bayaran
subsidi upah yang akan dibayar kepada majikan adalah berdasarkan
kepada senarai nama dan bilangan pekerja yang dikemukakan pada
bulan berkenaan.
• Permohonan yang mengandungi maklumat yang tidak tepat seperti bilangan pekerja tempatan tidak sama dengan maklumat majikan di Portal PERKESO (ASSIST) atau permohonan yang mengandungi senarai pekerja asing, permohonan tersebut akan dikuiri untuk tindakan selanjutnya. Sehubungan dengan itu, majikan hendaklah mengisi maklumat pekerja dengan tepat bagi mengelakkan kelewatan pemprosesan permohonan tersebut.

10. Bolehkah majikan yang telah beroperasi sebelum 1 Januari 2020 tetapi tidak berdaftar dengan PERKESO memohon Program Subsidi Upah?
• Tidak. Mana-mana majikan yang ingin mengemukakan permohonan Program Subsidi Upah hendaklah berdaftar dengan PERKESO, sebelum 1 April 2020, berdaftar dengan SSM, PBT atau pihak berkuasa perkhidmatan profesional, saintifik atau teknikal sebelum 1 Januari 2020 dan mempunyai sekurang-kurangnya seorang pekerja.

11. Sekiranya majikan telah berdaftar dengan PERKESO sebelum 1 April 2020 dan mempunyai pekerja yang telah mula bekerja pada 1 Februari 2020 tetapi belum berdaftar dengan Perkeso. Adakah majikan layak untuk memohon Program Subsidi Upah?
• Ya, majikan layak untuk mengemukakan permohonan Program Subsidi Upah. Pekerja hendaklah merupakan seseorang yang telah mula bekerja di bawah majikan tersebut sebelum 1 April 2020 dan majikan hendaklah mendaftarkan pekerja tersebut dengan Perkeso  (Portal ASSIST) terlebih dahulu sebelum mengemukakan permohonan bagi bulan berkenaan.

12. Bolehkah majikan yang telah menerima ERP mengemukakan permohonan Program Subsidi Upah?
• Boleh. Majikan yang memenuhi syarat-syarat permohonan Program Subsidi Upah yang telah ditetapkan seperti di Jadual 1 (Soalan 3) boleh mengemukakan permohonan walaupun telah menerima ERP sebelum ini.
• Namun demikian, syarikat tidak boleh membuat tuntutan Program Subsidi Upah bagi pekerja yang telah menerima bantuan ERP pada bulan yang sama.

13. Bolehkah majikan memohon semula Program Subsidi Upah yang terkini (6 April 2020) sekiranya majikan telah memohon Program Subsidi Upah yang telah diumumkan sebelum ini (27 Mac 2020)?
• Boleh. Bagi majikan yang telah mengemukakan permohonan Program Subsidi Upah yang selaras dengan pengumuman pada 27 Mac 2020 DAN mempunyai pekerja melebihi 100 orang, majikan hanya perlu mengemukakan senarai baru berserta baki pekerja dengan jumlah had tidak melebihi 200 orang. Majikan yang berkaitan akan dihubungi oleh Sekretariat Program Subsidi Upah.
• Syarat-syarat permohonan adalah seperti di Jadual 1 (Soalan 3).

14. Bagaimanakah perusahaan yang bersaiz 76 orang pekerja dan ke atas hendak membuktikan kadar penurunan pendapatan atau jualan sebanyak 50% atau lebih?
• Majikan boleh membuktikan penurunan pendapatan atau jualan
sebanyak 50% atau lebih dengan dokumen sokongan yang menunjukkan penurunan hasil jumlah jualan atau pendapatan pada bulan Januari 2020 atau berbanding bulan-bulan berikutnya.

15. Syarikat saya mempunyai pelbagai Jabatan/ Bahagian/ Cawangan/ Unit.
Bolehkah saya memilih sebahagian pekerja sahaja daripada Jabatan/ Bahagian/ Cawangan/ Unit yang tertentu untuk permohonan Program Subsidi Upah?
• Boleh. Majikan boleh memilih mana-mana pekerja tempatan yang
bergaji RM4,000 dan ke bawah untuk mendapat subsidi upah tersebut.

16. Sekiranya majikan mengemukakan permohonan Program Subsidi Upah pada bulan Jun, adakah subsidi upah akan dibayar dari bulan April (backdated) atau bermula pada bulan Jun?
• Subsidi upah akan dibayar mulai dari bulan permohonan dikemukakan dan tiada pembayaran bulanan ke belakang (backdated).

17. Sekiranya saya tidak mengemukakan permohonan Program Subsidi Upah, adakah saya boleh memberhentikan pekerja saya pada bila–bila masa?
• Boleh. Walau bagaimanapun, mana-mana majikan yang ingin
memberhentikan pekerja adalah tertakluk di bawah semua Peraturan dan Undang-Undang Perburuhan di Malaysia seperti Akta Kerja 1955 dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967.
• Majikan yang terlibat dengan Program Subsidi Upah tidak boleh
membuang sebarang pekerja, memotong gaji, memberi cuti tanpa gaji bagi pekerja yang berpendapatan RM4,000 dan ke bawah terutamanya pekerja-pekerja yang telah tersenarai bagi Program Subsidi Upah.

18. Salah satu syarat kelayakan bagi Program Subsidi Upah ialah majikan perlu mengekalkan pekerja selama 6 bulan. Sekiranya terdapat pekerja yang berhenti secara sukarela dengan majikan dan menerima subsidi upah sebelum ini, adakah majikan perlu mengemukakan permohonan yang baru?
• Tidak. Sekiranya pemberhentian sukarela pekerja berlaku dalam tempoh 3 bulan pertama Program Subsidi Upah, majikan hanya perlu mengemaskini maklumat pekerja mengikut kelayakan dengan
mengemukakan senarai baru melalui sistem pada bulan berikutnya.
Kegagalan majikan tidak melaporkan perubahan tersebut boleh
dikenakan tindakan undang-undang.

19. Adakah pekerja saya mempunyai hak untuk mengemukakan
permohonan Program Subsidi Upah bagi diri sendiri?
• Tidak. Semua permohonan Program Subsidi Upah mestilah dikemukakan oleh majikan.

20. Bagaimanakah majikan akan dapat mengetahui sama ada permohonan subsidi upah telah diterima, diluluskan atau ditolak?
• Majikan akan menerima No. Rujukan sebaik sahaja permohonan lengkap telah diisi di Portal Program Subsidi Upah dan boleh menyemak status permohonan menggunakan No. Rujukan yang diberikan.
• Majikan akan dimaklumkan status permohonan sama ada diluluskan atau ditolak melalui emel.
• Senarai nama majikan yang diluluskan permohonan Program Subsidi
Upah juga akan dipaparkan di laman web PERKESO
https://eiscentre.perkeso.gov.my/ termasuk bilangan pekerja yang
diluluskan.

21. Apakah yang boleh dilakukan oleh pekerja sekiranya majikan yang menyertai Program Subsidi Upah tidak membayar gaji pekerja, memotong gaji, mengarahkan pekerja mengambil cuti tanpa gaji ataupun
memberhentikan perkhidmatan pekerja?
• Pekerja boleh menyemak senarai nama majikan yang telah diluluskan permohonan Program Subsidi Upah di laman web PERKESO https://eiscentre.perkeso.gov.my/.
• Sehubungan itu, pekerja boleh mengemukakan aduan kepada PERKESO melalui emel aduansip@perkeso.gov.my.
• Sebarang masalah pemburuhan di luar Program Subsidi Upah, pekerja juga boleh merujuk kepada pihak Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di talian 03-8890 3404 atau 03 -8886 2409 atau emel di jtksm@mohr.gov.my.

22. Apakah tafsiran gaji atau pendapatan RM4,000 ke bawah yang dimaksudkan bagi permohonan Program Subsidi Upah ini?
• Tafsiran gaji atau pendapatan adalah mengikut tafsiran gaji di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 [Akta 4]. Semua pembayaran berbentuk wang kepada pekerja dianggap sebagai gaji seperti gaji pokok / kerja lebih masa / komisen / bayaran-bayaran sewaktu cuti tahunan, sakit, bersalin, rehat, kelepasan am dan sebagainya / elaunelaun insentif, kelakuan baik, sara hidup dan sebagainya / caj perkhidmatan (service charge).

23. Bagaimanakah cara untuk saya membayar gaji kepada pekerja saya, sekiranya menyertai Program Subsidi Upah?
• Majikan hendaklah membayar gaji pekerja seperti biasa dengan kadar yang sama dan kemudian mengemukakan permohonan Program Subsidi Upah kepada Perkeso. Bantuan subsidi upah yang diterima dari Perkeso adalah bantuan kewangan kepada majikan. Bayaran caruman Perkeso dan SIP adalah wajib diteruskan berdasarkan gaji sebenar pekerja.

24. Sekiranya seorang pekerja bekerja dengan Syarikat A dan Syarikat B dan mencarum kepada Perkeso, adakah kedua-dua syarikat layak untuk memohon Program Subsidi Upah?
• Ya. Kedua-dua syarikat layak untuk memohon Program Subsidi Upah bagi pekerja yang sama selagi mematuhi syarat-syarat kelayakan seperti di Jadual 1 (Soalan 3).

25. Syarikat saya mempunyai pekerja warganegara Malaysia dan juga pekerja bukan warganegara tetapi belum mendaftar dengan Perkeso. Bolehkah saya mendaftar dengan Perkesodan memohon Program Subsidi Upah bagi pihak pekerja warganegara Malaysia sahaja?
• Boleh. Majikan perlu mendaftar atau mencarum terlebih dahulu dengan Perkeso sebelum mengemukakan permohonan Program Subsidi Upah.
Permohonan ini hanya layak untuk pekerja warganegara Malaysia
sahaja. Majikan juga perlu mengisytihar jumlah bilangan pekerja
warganegara Malaysia dan pekerja bukan warganegara**.
**Nota: Definisi Saiz Perusahaan adalah berdasarkan kepada jumlah keseluruhan bilangan pekerja warganegara Malaysia DAN bukan warganegara

26. Adakah majikan atau pemilik syarikat termasuk dalam pengiraan penentuan saiz perusahaan bagi permohonan Program Subsidi Upah?
• Tidak termasuk.

27. Apakah perbezaan antara SIP, Program ERP dan Program Subsidi Upah?

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Pegawai Perkhidmatan Pelanggan Perkeso di talian 03-4264 5555 / 03-8091 5100 / 1-300-22-8000 atau emel kepada perkeso@perkeso.gov.my
PERTUBUHAN KESELAMATAN SOSIAL (PERKESO)
Dikemaskini pada 14 APRIL 2020

Kepada yang belum memahami tentang Pakej Prihatin PKS (Tambahan) pada 6 April 2020 diumumkan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini, ia adalah untuk membantu pekerja dan majikan yang terkesan sumber pendapatan akibat wabak yang melanda

Untuk info  lanjut layari pautan ini: https://www.perkeso.gov.my/images/pengumuman/psu/FAQ_PSU_-_14_April_2020__4.00pm.pdf?fbclid=IwAR08bLAsFXLTigyiz7DMXIIro7xpmTYxQe4iCBiHlqwG4I0kWRtczpDmPNA
*KEMASKINI (14 April 2020)

 

 

Iklan

5 soalan panas

Apa yang pasti, berdasarkan persoalan yang dikemukakan kepada Perkeso melalui Facebook rasminya, ramai juga nampaknya masih memerlukan jawapan terutama dalam soal periuk nasi mereka.

Ya, mana tidaknya pekerja terutama di sektor swasta susah hati dengan nasib mereka dek penangan Covid-19 hingga menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sekali gus memberi kesan kepada ekonomi dan syarikat.

Paling menyentuh hati, apabila soalan diajukan tentang kegusaran mereka yang khuatir tidak menerima gaji, diberi cuti tanpa gaji atau terima separuh gaji atau lebih serius jika diberhentikan.

Di bebenang statusnya tentang Program Subsidi Upah berkenaan, Perkeso menjawab secara tidak langsung beberapa soalan ‘panas’ yang dikemukakan.

1) Bagaimana boleh memastikan bahawa majikan benar-benar membayar gaji pekerja dan tidak hanya menyimpan subsidi diterima untuk dirinya sendiri?
Dan sekiranya perkara ini tidak berlaku, apa yang boleh dilakukan oleh pekerja?
Ada kaedah untuk pekerja mendapatkan ganti rugi sekiranya majikan enggan membayar gaji dan masih memohon subsidi ini upah?

Salam sejahtera tuan, majikan hendaklah membayar gaji pekerja seperti biasa dengan kadar yang sama dan kemudian mengemukakan permohonan Program Subsidi Upah kepada Perkeso. Bantuan subsidi upah yang diterima daripada Perkeso adalah bantuan kewangan kepada majikan.

Pekerja boleh menyemak senarai nama majikan yang telah diluluskan permohonan Program Subsidi Upah di laman web Perkeso https://eiscentre.perkeso.gov.my/ termasuk bilangan pekerja yang diluluskan.

Sehubungan itu, jika perkara tersebut berlaku, pekerja boleh mengemukakan aduan kepada Perkeso melalui emel aduansip@perkeso.gov.my.

Sebarang masalah pemburuhan di luar Program Subsidi Upah, pekerja juga boleh merujuk kepada pihak Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di talian 03-8890 3404 atau 03 -8886 2409 atau emel di jtksm@mohr.gov.my. Sekian, terima kasih.

2. Jika terdapat kelayakan buat permohonan Program Subsidi Upah, adakah majikan masih perlu keluarkan gaji kepada pekerja?

Iklan

Program Subsidi Upah (Wage Subsidy) merupakan perluasan kepada Program Pengekalan Pekerjaan (Employment Retention Program-ERP) iaitu bantuan kewangan segera bagi membantu majikan yang mengalami pengurangan pendapatan melebihi 50% supaya dapat mengekalkan pekerja yang bergaji RM4000 dan ke bawah.

Syarat-syarat kelayakan untuk menerima Program Subsidi Upah:

i. Majikan dan pekerja hendaklah berdaftar atau mencarum dengan Perkeso.
ii. Majikan atau perusahaan perlu mendaftar dengan SSM atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan beroperasi sebelum 1 Januari 2020.
iii. Majikan perlu membuat akuan pengisytiharan syarikat mengalami penurunan pendapatan lebih 50% dengan membandingkan jumlah jualan pada bulan Januari 2020 dengan bulan-bulan berikutnya (*bagi perusahaan sederhana dan besar).
iv. Pekerja yang bergaji RM4,000 dan ke bawah
v. Majikan hendaklah memastikan mereka tidak membuang pekerja, mengarahkan pekerja mengambil cuti tanpa gaji dan memotong gaji sedia ada pekerja semasa menerima bantuan bagi tempoh 3 bulan tersebut dan 3 bulan berikutnya.
Dokumen yang diperlukan untuk permohonan:
i. Senarai nama pekerja (mengikut had kelayakan saiz perusahaan);
ii. Maklumat akaun bank majikan (Salinan muka depan Penyata Bank sahaja);
iii. Maklumat Business Registration Number (BRN) yang didaftarkan oleh majikan ketika pembukaan akaun bank.
iv. Salinan pendaftaran SSM / ROS / ROB / pihak berkuasa Perkhidmatan Profesional, Saintifik atau Teknikal / Lesen Perniagaan;
v. Akuan Pengisytiharan PSU50; dan
vi. **Dokumen sokongan seperti penyata kewangan atau laporan jualan yang telah disahkan oleh pihak pengurusan atau lain-lain dokumen berkaitan. (**Nota: Dokumen sokongan bagi perusahaan bersaiz SEDERHANA dan BESAR sahaja)
Semua permohonan perlu dikemukakan oleh majikan sahaja mulai 1 April 2020 di capaian laman sesawang http://prihatin.perkeso.gov.my/
*Hanya majikan sahaja yang layak mengemukakan permohonan.
* SILA rujuk pautan di bawah bagi mendapatkan maklumat lanjut (FAQ) berkaitan permohonan Wage Subsidy :
https://www.perkeso.gov.my/index.php/ms/program-subsidi-upah
NOTA:
-Perusahaan Mikro/Kecil: 75 Pekerja Dan Ke Bawah: RM1200
-Perusahaan Sederhana: 76 Pekerja Hingga 200 Pekerja: RM800> WAJIB Mengemukakan Bukti Penurunan Pendapatan 50%
-Perusahaan Besar: 201 Pekerja Dan Ke Atas : RM600> WAJIB Mengemukakan Bukti Penurunan Pendapatan 50%
Terima kasih.

3) Program pengekalan pekerjaan adalah bantuan kewangan kepada pekerja yang diberikan persetujuan untuk mangambil cuti tanpa gaji disebabkan majikan yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19 sahaja
Betul atau tidak?

ERP bertujuan untuk membantu pekerja yang bersetuju untuk mengambil cuti tanpa gaji yang dibayar melalui majikan tertakluk kepada syarat-syarat berikut:
1. Pekerja yang diberi notis cuti sementara tanpa gaji (unpaid leave) oleh majikan berkuatkuasa mulai 1 Mac 2020;
2. Pekerja sektor swasta yang berdaftar dan mencarum dengan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) PERKESO;
3. Terhad kepada pekerja yang bergaji RM4,000 dan ke bawah;
4. Majikan membuat permohonan bagi pihak pekerja; dan
5. Majikan hendaklah menyalurkan RM600 terus kepada akaun pekerja.
Untuk maklumat lanjut sila layari www.perkeso.gov.my

4) Bagaimana kalau majikan tak nak buat permohonan Program Subsidi Upah? Hanya diberi borang online PDF suruh isi dan tanda salah satu antara tiga:
1. Potong cuti tahunan
2. Cuti tanpa gaji
3. Lain-lain alasan

Tuan/puan, Terdapat 2 program iaitu Program Subsidi Upah (PSU) dan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 2020).

1) Program Subsidi Upah bertujuan untuk membantu majikan yang terkesan dari segi ekonomi akibat Covid-19 supaya dapat meneruskan operasi syarikat serta mengekalkan pekerja.

Syarat Program Subsidi Upah adalah seperti berikut:
i. Majikan dan pekerja hendaklah berdaftar atau mencarum dengan PERKESO sebelum 1 April 2020.
ii. Majikan atau perusahaan yang telah mendaftar dengan SSM atau Pihak Berkuasa Tempatan dan beroperasi sebelum 1 Januari 2020.
iii. Majikan perlu membuat akuan pengisytiharan syarikat mengalami penurunan pendapatan lebih 50% dengan membandingkan jumlah jualan pada bulan Januari 2020 dengan bulan-bulan berikutnya (*bagi perusahaan sederhana dan besar).
iv. Pekerja yang bergaji RM4,000 dan ke bawah
v. Majikan hendaklah memastikan mereka tidak membuang pekerja, mengarahkan pekerja mengambil cuti tanpa gaji dan memotong gaji sedia ada pekerja semasa menerima bantuan bagi tempoh 3 bulan tersebut dan 3 bulan berikutnya.
2)ERP bertujuan untuk membantu pekerja yang bersetuju untuk mengambil cuti tanpa gaji yang dibayar melalui majikan tertakluk kepada syarat-syarat berikut:
1. Pekerja yang diberi notis cuti sementara tanpa gaji (unpaid leave) oleh majikan berkuatkuasa mulai 1 Mac 2020;
2. Pekerja sektor swasta yang berdaftar dan mencarum dengan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) PERKESO;
3. Terhad kepada pekerja yang bergaji RM4,000 dan ke bawah;
4. Majikan membuat permohonan bagi pihak pekerja; dan
5. Majikan hendaklah menyalurkan RM600 terus kepada akaun pekerja.
Untuk maklumat lanjut sila layari www.perkeso.gov.my
Mohon agar tuan/puan berbincang dengan majikan untuk memohon bantuan yang sesuai. Terima kasih.

5) Macam mana kami yang tak ada gaji ni… nak buat aduan tak boleh. Kena tunggu habis PKP. Kalau satu dua bulan masih dalam PKP, kami pekerja yang tak ada gaji dan teraniaya ni macam mana???

Untuk makluman, segala isu berkaitan pekerjaan dan perburuhan, tuan/puan perlu merujuk kes ini kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK). Terima kasih.

**Bagaimanapun, jawapan di laman sosial lazimnya bukanlah jawapan rasmi. Nasihat Sinar Plus, anda boleh berhubung langsung dengan pihak Perkeso untuk fakta yang lebih tepat.

Untuk info lanjut layari pautan ini: https://www.perkeso.gov.my/images/pengumuman/psu/FAQ_PSU_-_14_April_2020__4.00pm.pdf?fbclid=IwAR08bLAsFXLTigyiz7DMXIIro7xpmTYxQe4iCBiHlqwG4I0kWRtczpDmPNA
*KEMASKINI (14 April 2020)