PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan lagi sehingga 28 April 2020. Walaupun ia sudah dijangka, ramai yang masih mengeluh. Kenapa?

Sejak ia diumumkan dan sehingga kini ramai yang mengamalkan pembelian panik, menyebabkan pembelian secara berlebihan dan berlakunya pembaziran bukan sahaja wang ringgit malahan barangan keperluan juga.

Pihak AKPK menasihatkan orang ramai agar kekal bertenang dan jangan panik. Panik menyebabkan keadaan akan menjadi semakin rumit. Apabila ramai yang membuat pembelian panik, akan menyebabkan berlaku kekurangan bekalan dan peningkatan harga.

Dalam menghadapi situasi sebegini, kita perlu mengamalkan langkah berjimat cermat. Kita tidak dapat menjangka berapa lama tempoh PKP akan berakhir dan bila keadaan ekonomi akan pulih seperti sedia kala. Harus diingat, tekanan ekonomi bukan sahaja terkesan ketika tempoh PKP malah kesan jangka masa panjang dari krisis ini perlu difikirkan.

Oleh itu, urus sumber pendapatan yang ada pada masa ini mengikut keperluan, bukan kerana kehendak agar kita boleh berjimat dan mempunyai lebihan aliran tunai yang boleh disimpan sebagai dana kecemasan. Jangan keluar rumah setiap hari!

Kita perlu menyemak dahulu barang apa yang benar-benar tiada sebelum membuat pembelian. Langkah yang bijak ialah menyediakan senarai barangan yang perlu dibeli. Senarai ini penting supaya tiada barangan yang tertinggal untuk dibeli, tidak membeli secara berlebihan hingga berlaku pembaziran. Dahulukan keperluan asas dan utama.

Memasak makanan setiap hari juga merupakan satu langkah penjimatan berbanding membeli makanan. Dalam erti kata lain, kita seharusnya merancang apa yang ingin dimasak walaupun lauk yang sederhana dan cuba elakkan pembaziran makanan. Paling penting, kekalkan gaya hidup lebih sihat.

Pembelian panik cetus penipuan

Pelbagai masalah lain timbul akibat pembelian panik. Berlakunya manipulasi harga dan bekalan dalam pasaran. Malah akan mewujudkan satu situasi yang mana pengguna tidak langsung menghiraukan harga yang melambung di pasaran, asalkan mereka dapat barang keperluan yang dikehendakinya.

Jadilah pengguna yang bijak dan prihatin, kawal kuasa membeli di musim wabak Covid-19 ini.

Berikut adalah beberapa tip untuk membeli barangan keperluan:

– Jangan buat pembelian secara panik sehingga rumah kelihatan seperti gudang.
– Bertimbang rasa terhadap orang lain.
– Semak tarikh luput barang. Ada yang memborong barang-barang yang mudah rosak kerana tarikh luput yang pendek seperti roti dan sayur-sayuran. Hakikatnya barangan itu tidak tahan lama.

Amalkan pengurusan kewangan yang bijak dan cuba elakkan daripada sebarang pembaziran. Bagaimana caranya?

# Sediakan bajet – ada perbelanjaan yang tidak perlu pada bulan ini mesti diketepikan kerana kita bekerja dari rumah. Lebihan tunai disimpan untuk simpanan kecemasan.

# Jangan lupa membuat pembayaran penting seperti sewa rumah, bil-bil utiliti seperti air, elektrik, telefon, langganan internet dan lain-lain bagi mengelakkan tunggakan bil.

# Gunakan perbankan internet untuk membayar pinjaman, bil utiliti dan urusan perbankan yang lain bagi mengelakkan berada lama di luar.

# Gunakan perbankan digital ketika membuat bayaran. Contohnya  kemudahan transaksi tanpa tunai seperti ‘paywave’ yang  ada pada kad kredit atau debit ketika membuat bayaran di pasar raya, stesen petrol dan sebagainya.

# Dapat gaji, jangan terburu-buru untuk ke mesin ATM dan sibuk hendak membeli-belah. Bersesak boleh menularkan lagi wabak.

Iklan

Apa jadi jika tiada wang simpanan?

Bayangkan apa akan berlaku jika anda tidak mempuyai wang simpanan atau tabung kecemasan ketika PKP. Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) sentiasa menasihatkan masyarakat supaya berbelanja secara berhemat dan mengasingkan sebahagian daripada pendapatan bulanan untuk tabung kecemasan.

Tabung kecemasaan yang sepatutnya kita miliki adalah 3 hingga 6 bulan kos sara hidup. Tabung kecemasan ini yang akan digunakan pada waktu krisis sebegini.

Kita beruntung kerana terdapat beberapa insentif yang telah diumumkan bagi membantu menangani bebanan kewangan waktu ini seperti penangguhan bayaran hutang bulanan dengan perbankan seperti yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

BNM telah mengarahkan semua institusi kewangan memberikan moratorium 6 bulan secara automatik kepada peminjam. Selaras dengan pengumuman BNM, AKPK juga memberi penangguhan pembayaran/moratorium kepada semua peserta Program Pengurusan Kredit (PPK) selama 6 bulan. Penangguhan ini berkuatkuasa bermula April 2020 sehingga September 2020.

Moratorium  adalah automatik dan peserta tidak perlu memohon. Kelayakan yang ditetapkan ialah:
– Akaun PPK masih lagi aktif dan bukan untuk akaun yang telah ditamatkan.
– Akaun tidak tertunggak melebihi 90 hari.
– Semua jenis pinjaman dalam PPK iaitu pinjaman perumahan, peribadi, kenderaan, mikro, PTPTN, TEKUN termasuklah pinjaman kad kredit yang dibayar terus kepada AKPK.
– Penangguhan bagi kemudahan potongan melalui Angkasa dan pembayaran melalui potongan gaji juga layak, tetapi anda perlu memaklumkan kepada majikan/syarikat tempat anda bekerja.

Iklan

Sekiranya peserta PPK merasakan perlu penangguhan, ambillah peluang ini. Bagi peserta PPK yang masih berkemampuan adalah lebih baik teruskan pembayaran seperti biasa. Ini kerana kesan daripada penangguhan akan menjadikan tempoh pinjaman dipanjangkan selama 6 bulan lagi.

AKPK sentiasa prihatin dengan masalah yang anda hadapi. Untuk dapatkan maklumat , berhubung terus dengan AKPK menggunakan borang di pautan http://bit.ly/AKPKdmp2020. AKPK tidak pernah melantik sebarang ejen atau pihak ketiga untuk berurusan dengan pelanggan.

Jangan putus asa Malaysia! Kami di AKPK berharap agar krisis ini akan segera berakhir, apa yang penting kita hendaklah mengikut peraturan ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Jangan lupa, jadilah pengguna yang berhemat dalam pengurusan kewangan!

Ditulis oleh
Mohd Syahrul Azmi Esha
Kaunselor Kredit, AKPK Cawangan Ipoh