PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan telah meluluskan gaji minimum baharu RM1,500 sebulan bermula 1 Mei ini di seluruh negara.

Bagaimanapun, pelaksanaan gaji minimum itu akan hanya membabitkan majikan syarikat besar dan tidak melibatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Justeru, pada 1 Mei ini syarikat besar, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sebagainya yang akan memulakan dulu perlaksanaan gaji minimum RM1,500.

Baca juga: 6 cara ‘sorok’ duit, gaji tak habis sampai hujung bulan

Bibir Merah setuju sangat kerana ia seperti hadiah Hari Pekerja pada tahun ini. Bayangkan hidup pada zaman ini dengan gaji RM1,200, memang tidak dapat menampung keperluan.

Lebih-lebih lagi bagi yang sudah berkeluarga, ada yang perlu melakukan pelbagai kerja untuk mencari pendapatan kedua dari sumber lain.

Maka keputusan gaji minimum RM1,500 ini rata-rata disambut baik warga maya.

Baca juga: Pemuda pecah tabung duit kahwin, setahun berjaya kumpul RM19,000 – “Jangan malu naik motor”

Namun di sebalik rahmat itu, warga maya turut meluahkan kebimbangan kemungkinan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

– “ Alhamdulillah, syukur dan terima kasih kepada kerajaan. Cuma seterusnya kalau boleh kerajaan perlu lebihkan penguatkuasaan terhadap kawalan harga barangan keperluan asas. Pantau rantaian pengeluar yang mungkin ada bahagian yang cuba bolot keuntungan melampau hingga menyebabkan harga sampai pengguna menjadi mahal.”

– “Maaf, bukan saya tidak setuju. Tetapi ini bukan jalan penyelesaian. Gaji naik bermakna majikan perlu kena menaikkan harga untuk tampung duit gaji pekerja. Yang patut kerajaan fokus ialah kawal harga barang runcit, barang mentah. Cari jalan supaya lebih banyak pengeluaran dari sektor pertanian untuk kegunaan dalam negara.”

– “Semoga ada penyelarasan gaji dan kawal harga barangan. kalau tidak, tiada makna juga.”

Selain itu, antara kebimbangan warga maya ialah apabila gaji dinaikkan, majikan bertindak mengurangkan jumlah pekerja atau elaun berkaitan.

– “Alhamdulillah gaji baru. Tetapi apa yang saya takut kebanyakan syarikat swasta akan memotong elaun dan sebagainya.”

– “Gaji minimum bakal dinaikkan ke RM 1,500 berkuatkuasa 1 Mei 2022. Bisnes dalam Malaysia akan mula fikir untuk mengurangkan kos tetap. Maka, apa yang bakal terjadi terhadap landskap pengambilan pekerja sepenuh masa akan dikurangkan, pekerja sambilan akan diambil. Konsep open market.”

Malah ada yang meminta agar penetapan gaji berdasarkan kelulusan seperti ijazah, master dan Doktor Falsafah juga dipertimbangkan.

– “So gaji minimum akan dinaikkan ke RM 1,500, kami mahukan gaji untuk pemegang ijazah dinaikkan ke RM3,000.”

– “Bagaimana dengan pekerja yang memang ada sijil, diploma dan ijazah? Seolah tiada beza dengan mereka yang tidak memiliki sijil.”

Baca juga: Kumpul duit syiling lebih 4 tahun, peniaga jalanan ini mampu beli kereta idaman secara tunai buat ramai kagum

Terdahulu, perintah gaji minimum baharu dinaikkan kepada RM1,200 sebulan berkuatkuasa pada 1 Februari 2020 di bandar utama di bawah pentadbiran 57 majlis bandar raya dan majlis perbandaran.

Manakala kadar gaji minimum kekal pada RM1,100 sebulan di kawasan selain wilayah bandar utama.

Malah syarikat gergasi Jepun, AEON Co (M) Bhd dan AEON BiG (M) Sdn Bhd (AEON Malaysia) telah memberikan kenaikan gaji minimum untuk pekerja Gred G daripada RM1,200 kepada RM1,500 sebulan berkuat kuasa pada 1 Januari 2022.

Kenaikan itu melibatkan jumlah gaji pokok yang belum termasuk elaun atau insentif lain.

Bertuah kepada yang terbabit dengan kenaikan gaji minimum RM1,500 ini. Bibir Merah mengira ia adalah salah satu cara menambah baik kesejahteraan rakyat terutama golongan B40.

Diharapkan dalam masa yang sama, pihak berwajib memantau harga barangan mentah dan kos perkhidmatan agar tiada yang mengambil kesempatan selepas kenaikan gaji nanti.

Baca juga: (Video) Borak Bibir Merah Siri 16: Duit I-Sinar Isteri, Barang Dapur Vs Pulut Dakap

SiBibirMerah: Alangkah baiknya jika lebih banyak barangan mentah diberikan subsidi atau diletakkan harga siling.

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI