PERSAHABATAN yang terjalin tanpa mengira kaum lebih dua dekad telah membawa tiga sahabat melangkah ke tahap lebih tinggi apabila mereka bersepakat mengusahakan produk pes masakan sejak setahun lalu.

Sebagaimana sayangkan hubungan persabahatan, cinta terhadap makanan telah membawa Carolyn Tan Ai Ling, 43 dan suami S. Govin, 46, serta Romie Akmali Mohd Nor, 44, bersama-sama membangunkan syarikat SF Samudra Venture yang kini mengeluarkan pes masakan jenama ‘SnugFood’.

Menurut pengarah syarikat, Romie Akmali, mereka memulakan pengeluaran pada tahun lalu dengan menumpukan kepada empat produk iaitu pes sambal nasi lemak, sos sate, ‘Penang Hokkien Mee’ dan ‘Penang Satay Paste’ khusus untuk perapan daging atau ayam.

Romie Akmali yang juga juruterbang syarikat penerbangan Malindo Air berkata, produk tersebut merupakan idea Carolyn selaku pengasas SnugFood yang kini menetap di Pulau Pinang kerana berasakan perlu ada pes masakan yang bukan sahaja menjimatkan masa, tetapi mempunyai rasa seperti memasak sendiri di rumah.

“Saya perlu menguruskan perniagaan sendiri dan menjaga keluarga yang mana ia merupakan tugas mencabar dihadapi semua wanita berkerjaya, maka dari situ kami bertiga memikirkan untuk menyediakan pes masakan yang boleh dipelbagaikan untuk macam-macam resepi,” kata Carolyn.

Romie Akmali menambah, setiap pes SnugFood boleh dipelbagaikan misalnya sambal nasi lemak boleh digunakan untuk memasak sambal sotong serta asam pedas, manakala ‘Penang Hokkien Mee’ pula boleh dijadikan bahan untuk memasak nasi goreng.

“Produk SnugFood bukan sahaja menjimatkan masa dan wang, tetapi ia kurang gula dan garam, tiada pewarna atau perisa tambahan dan yang lebih penting dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan kerana mengalakkan keluarga masak bersama,” katanya yang tinggal di Damansara, Selangor.

Beliau berkata produk SnugFood memiliki sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan mempunyai pensijilan Analisis Bahaya dan Kawalan Titik Kritikal (HACCP) Kementerian Kesihatan.

Iklan

Mengenai pemilihan nama, Romie Akmali berkata ia dibuat kerana ‘Snug’ antaranya membawa maksud selesa selain istilah Melayu ‘senak’ yang merujuk kepada kekenyangan dan yakin SnugFood bukan sahaja boleh dipasarkan di pasaran tempatan tetapi antarabangsa.

Beliau berkata ketika ini, SnugFood dijual di 30 outlet di Singapura, malah terdapat sebuah syarikat dari Bahrain yang ingin mengimport produk tersebut ke negara Timur Tengah itu dan pihaknya turut membuka peluang kepada orang ramai untuk menjadi ejen bagi pasaran tempatan.

Iklan

Bercerita lanjut, Romie Akmali berkata operasi syarikat menggunakan wang simpanan mereka bertiga sepenuhnya dan mengakui hampir putus asa pada peringkat awal, namun kembali kepada asas penubuhan iaitu ingin menyediakan pilihan memasak dan akhirnya terus bangkit.

Romie Akmali berkata produk pes masakan SnugFood boleh dibeli menerusi platform e-dagang seperti Shopee, Lazada dan Amazon.com pada harga bermula RM15.