Tip bangkit mood Ramadan – jadual, dekorasi, makanan

April 22, 2020
Azimah

PASTI ramai dalam kalangan kita masih bungkam dengan keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19 yang memerlukan kita berada di rumah.

Bagi yang tiada aktiviti hingga hanya tidur dan berehat, bukan saja wajah, otak pun boleh jadi sembab.

Akibat bakal mengundang mood ke laut. Sebaiknya usah begitu… apatah lagi kita sebagai umatnya harus sudah bersedia membuat persiapan menyambut bulan yang mulia bagi umat Islam, iaitu Ramadan yang tinggal sehari dua lagi.

Jika masih rasa sendu, mahu tidak mahu, cubalah tiupkan kembali aura tenaga dalam diri, supaya tetap bersemangat menyambut bulan puasa ini biarpun perlu berada di rumah.

Bagaimana hendak membangkitkan mood berkenaan? Perkongsian Sinar Plus kali ini mungkin berguna untuk dipraktikkan:

1) BUAT JADUAL RAMADAN

Dalam hidup ini, perlulah ada perancangan bukan? Jika perancangan dianggap tidak penting, tidaklah timbul ungkapan; ‘Orang yang gagal merancang, sebenarnya merancang untuk gagal’.

Biarlah seperti budak sekolah sekali pun. Membuat jadual amat bagus untuk merancang hari-hari Ramadan yang dilalui dengan penuh berfaedah. Di samping itu sudah tentu membantu kita daripada membuang masa atau membuat sesuatu yang lagho.

Jadual yang boleh diatur adalah bagi urusan:

Pertama – Jadual amal ibadat 

Antara amalan yang boleh dilakukan sepanjang Ramadan ini bagi mengutip sebanyak mana pahala ialah dengan
a. Qiamullail dan bertarawih
b. Membaca al-Quran
c. Berzikir
d. Bersedekah
e. Membuat kebaikan
f. Membanyakkan solat sunat
g. Kerap berdoa jika boleh pada setiap saat dan berharap dosa diampun, manakala amalan diterima
h. Banyakkan penyucian jiwa. Muhasabah diri

Selitkan waktu atau hari-hari tertentu dalam Ramadan ini, supaya jadual diatas dapat diisi. Penting untuk berdisiplin dalam melakukannya. InsyaAllah dapat pulangannya.

Kedua – Jadual urusan untuk diri sendiri
Jangan lupa diri sendiri juga perlu dijaga terutama bab kesihatan dan kecantikan diri. Jika perlu makan ubat, pastikan anda mengatur dan mengubah masanya mengikut bulan puasa. Rujuklah kepada pakar kesihatan supaya tidak memudaratkan.

Selain itu, bagi wanita dan barangkali juga lelaki, jangan lupa menjaga kecantikan dan kebersihan diri. Pakailah krim penjagaan kulit mengikut rutin biasa jika perlu bagi menjaga ketrampilan diri, terutama bagi yang sudah berumahtangga.

Yang lelaki pula, walaupun dalam tempoh PKP, pengurusan diri juga perlu ada. Takkanlah hendak dibiarkan misai dan janggut tidak terurus.

Jika kita sendiri tidak menjaga diri, bagaimana hendak membangkitkan mood? Oleh itu hargailah diri sendiri. Jadual rutin mengikut masa sepatutnya boleh membantu pengurusan diri.

Ketiga – Jadual menguruskan suami atau isteri, anak-anak dan rumah tangga
Dalam pada itu, jika anda mempunyai tanggungjawab terhadap orang sekeliling, jangan sampai mengabaikannya.

Jika anda ada anak masih bayi atau ibu bapa yang tidak mampu berpuasa misalnya, siapkan makanan dan keperluan mereka lebih awal, supaya jadual pertama dan kedua mudah anda dipenuhi.

Selain itu, jangan lupa di tempoh PKP ini, anak-anak ‘bercuti sekolah’. Jadi bantulah mereka dengan aktiviti berfaedah terutama bagi si kecil untuk kenalkan mereka supaya tahu akan makna di sebalik Ramadan.

Mungkin setiap hari boleh dibacakan sirah berkaitan. Jangan lupa buat jadual.

2) DEKORASI

Bukan diri sendiri sahaja perlu bersemangat, keadaan di sekeliling kita patutnya boleh membantu kita menaikkan mood.

Bagaimana caranya? Pertama, perhatikan tempat kita hendak beribadat, adakah ia mampu membuat kita kusyuk? Jika tidak, perbaikilah ia.

Tambahan pula dalam tempoh kita tidak dapat ke surau dan masjid. Cuba sediakan sudut beribadah mengikut citarasa sendiri bagi menaikkan mood khasnya untuk kusyuk dalam solat.

Paling mudah mungkin dengan menukar langsir dan memasang permaidani atau tikar ala-ala kita berada di surau atau masjid mengikut warna kegemaran.

Dekorasi dengan lampu ala arabian juga boleh membangkitkan mood tau… Kalau mahu menghiasi dengan lilin bau-bauan, pastikan kedudukannya dalam lokasi keadaan yang selamat.

Satu lagi, ‘lokasi’ tempat makan yang istimewa juga boleh membangkitkan rasa gembira. Hiaskan meja atau sudut dalam rumah dengan dekorasi digemari dan berlainan mengikut keperluan.

Kadangkala meletakkan sekuntum bunga merah di tengah meja juga sudah memercikkan aura suasana berbeza. Hiasilah tempat mengisi perut pada setiap kali berbuka mengikut citarasa anda.

Oh ya, jadual mengemas rumah juga boleh juga disiapkan. Manalah tahu kita terleka pula nanti.

‘Dekorasi diri’ juga boleh dilakukan ya. Barangkali dengan menggunakan sejadah paling digemari atau yang perempuan boleh memakai telekung paling disukai. Itupun boleh membangkitkan mood!

3) MAKANAN

Memanglah makanan sepatutnya dimakan sekadar mengisi perut. Ya, jangan berlebih, boleh hilang mood pula. Lebih teruk jika ter’undang’ penyakit.

Sebaiknya pilih senarai makanan yang sihat selain boleh menaikkan mood. Menurut Dr Rizal Abu Bakar dalam perkongsian neuroversiti.com/ antara makanan yang boleh meningkatkan mood dan tenaga ialah:
1. Goji berri
2. Pisang
3. Kelapa
4. Kacang kuda
5. Telur
6. Sayur Kale
7. Teh hijau halia
8. Badam, hazelnuts dan gajus
9. Asparagus
10. Cacao bukan cocoa. Ada bedanya, katanya…
Senarai itu katanya jika diamalkan akan membantu. Rajin-rajin bermesra dengan ‘mereka’. Apabila diamalkan baharulah tenaga melonjak dan mood mencanak naik!

Tidak dinafikan juga makanan kegemaran anda atau anda teruja merasainya turut boleh menaikkan mood. Kenyang perut suka hati.

Tapi sebelum itu jika anda hendak memasak, pastikan anda mahir menyiapkan sesuatu juadah itu. Jika tidak boleh kemurungan dibuatnya! -AG

Komen

About Azimah

Biodata Penulis