BAGI sesiapa yang suka masak pakai tomato tentu akan perasan bahawa buah tomato ialah antara sayuran yang mudah rosak.

Namun jika anda membeli lebih untuk tujuan stok atau waktu harga murah, ia akan busuk dan menyebabkan pembaziran.

Untuk mengatasinya, Sinar Plus kongsikan tip untuk menyimpan tomato supaya tahan lebih lama. Kalau dah tahu caranya bolehlah jimat sikit.

1. Simpan tomato pada suhu bilik

Cara terbaik simpan buah tomato pada suhu bilik, biasanya di ruang dapur. Anda hanya perlu masukkannya dalam bekas terbuka tanpa penutup yang dialas dengan kertas atau tisu dapur, supaya bahagian bawah bekas tidak panas dan kekal pada suhu bilik. Dengan cara ini tomato akan tahan lebih lama.

2. Jangan buang tangkai tomato

Jika buah tomato yang dibeli mempunyai tangkai, jangan buang kerana ia membantu melewatkan proses tomato daripada cepat busuk. Jika tangkai dibuang, ia memudahkan bakteria masuk dalam tomato akan cepat menjadi busuk.

3. Terbalikkan tomato

Meletakkan tomato dalam posisi terbalik (bahagian tangkai di bawah) membantu menjadikan ia kekal segar dan tahan lama. Kerana cara ini mengurangi proses oksidasi yang menyebabkan tomato terlindung daripada udara di sekelilingnya. Tomato yang diletakkan dalam bekas terbuka boleh menghasilkan haba panas di sekelilingnya secara semula jadi. Sebab itu tomato dikatakan boleh membantu mempercepatkan buah-buahan lain masak apabila buah tersebut diletakkan dalam bekas yang sama dengan tomato.

Iklan

4. Jangan simpan tomato di dalam peti sejuk

Jika anda beranggapan masukkan tomato dalam peti sejuk adalah cara terbaik untuk simpan tomato, anggapan ini adalah salah sama sekali. Sebenarnya tomato akan mudah rosak dari segi warna, tekstur, mahupun rasanya.

Untuk lebih praktikal, jika anda membeli tomato dalam kuantiti yang banyak, sebaiknya pilih tomato belum masak sepenuhnya, ia membantu proses simpan tomato menjadi lebih lama.

Iklan

Tip ini bukan saja dapat memudahkan urusan di dapur dan mengelakkan pembaziran, ia juga menjimatkan masa. Mudah-mudahan ramai yang mendapat manfaat daripada perkongsian tip ini.

Selamat mencuba!

PENULIS: NURUL ADRIANA
FOTO: UNSPLASH