PENYANYI rap terkenal Amerika Syarikat, Aaron Carter yang juga adik kepada ahli kumpulan Backstreet Boys, Nick Carter dilaporkan meninggal dunia pada usia 34 tahun.

Menurut laporan TMZ, Carter ditemui mati dalam bilik mandi di rumahnya di Lancaster, California, pada pagi Sabtu dan kematiannya disahkan oleh wakil pengurusannya pada hari sama.

Pihak polis tiba di tempat kejadian sekitar pukul 11 pagi (waktu tempatan) selepas menerima laporan tentang seorang mangsa lemas. Bagaimanapun setakat ini punca kematian penyanyi itu masih disiasat.

“Sekarang adalah masa yang begitu menyedihkan, kami masih berusaha untuk mengetahui apa yang berlaku dan punca kematiannya.

“Kami sama seperti orang lain yang bersedih atas pemergiannya dan berharap peminat dapat mendoakan dan memberi sokongan kepada kepada keluarganya,” ujar wakil pengurusannya.

Aaron memulakan kerjaya menerusi kerjasama dengan kumpulan Backstreet Boys dalam beberapa konsert, lawatan serta mempunyai kerjaya solonya sendiri.

Pada akhir era 90-an, Aaron berjaya menjual empat buah albumnya sebanyak berjuta-juta salinan dan album pertamanya diterbitkan ketika dia berusia sembilan tahun.

Apabila menginjak dewasa, Carter beralih kepada rap dan muncul dalam muzikal Broadway serta rancangan TV AS Dancing With The Star.

Iklan

Bagaimanapun perjalanan kariernya dalam industri hiburan mula terganggu apabila dirinya dilapor jatuh muflis pada tahun 2013 kerana berhutang jutaan dolar, kebanyakannya berkaitan dengan cukai.

Selain itu, dia juga pernah berhadapan masalah dengan pihak berkuasa melibatkan pemilikan dadah dan memandu secara berbahaya.

Iklan

Demi anak lelakinya, Prince, yang kini berusia 11 bulan, Aaron secara sukarela mendaftar diri ke pusat pemulihan awal tahun ini kerana ingin mendapatkan hak penjagaan anaknya.

Namun hasratnya untuk menjaga sendiri cahaya mata hasil hubungan dengan Melaine Martin itu nampaknya tidak lagi kesampaian.