‘Banyak yang saya ingin tahu’ - Daniella Sya
JIKA mendengar si cantik tinggi lampai ini berkata-kata, pasti ramai yang menyangka dia ialah anak Melayu.
Namun, hakikatnya wanita berusia 34 tahun yang dilahirkan di Sungai Petani, Kedah dan dibesarkan di Kuala Lumpur itu berbangsa Cina.
Mencungkil sedikit latar belakangnya, pemilik nama penuh Daniella Sya Yeng Yeng atau nama pentasnya Daniella Sya memberitahu, dia mempunyai ramai kawan daripada pelbagai latar belakang.
Itu sebab dirinya fasih berbahasa Inggeris, Melayu dan Kantonis.
“Boleh dikatakan bahasa Melayu saya lebih baik daripada bahasa Kantonis. Sejak dahulu lagi saya tidak malu untuk bercakap bahasa Melayu. Mungkin itu adalah faktor percakapan saya tidak kedengaran pelat,“ ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Hijrah Jannah di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bukan sekadar bahasa, bekas penyampai radio itu juga mengakui banyak mendalami agama Islam.
“Saya dibesarkan dalam keluarga yang berfikiran bebas dan tidak memiliki pegangan agama.
“Sebelum ini juga, saya pernah berlakon sebagai mualaf. Sejak itu saya memang banyak membuat pencarian dan bertanya mengenai Islam. Namun, saya rasa ada banyak lagi yang mahu saya belajar dan teroka mengenai agama ini,“ katanya yang turut mengakui sedang berkawan rapat dengan seorang lelaki Melayu.
Akui Daniella, dia juga tidak janggal apabila membawakan watak yang memerlukannya bertudung, malah berasa lebih tenang.
“Pada awalnya memang rasa tidak selesa tetapi macam mana nak katakan ya, saya sebenarnya rasa selamat apabila memakai tudung, sebab saya tak perlu nak fikirkan soal rambut atau pun penampilan,“ ujarnya.
Menerusi drama Hijrah Jannah, Daniella memainkan peranan sebagai wanita mualaf bernama Jannah yang berhadapan pelbagai kemelut apabila dibuang keluarga asal kerana ingin mengahwini dengan pemuda Melayu.
Kehidupannya bertambah rumit apabila sang suami dihasut untuk berkahwin dua.
Selain Daniella, drama yang bakal bersiaran esok di saluran Astro Ria turut dibintangi Remy Ishak.
Berharap akan terus mendapat kepercayaan membawakan lebih banyak watak mencabar selepas ini, Daniella berkata, dia seboleh-bolehnya enggan menjadi pelakon stereotaip.
“Saya ada latar belakang seni mempertahankan diri dan berharap ada peluang bawakan cerita aksi. Saya juga minat karya sains fiksyen, cuma mungkin genre seperti itu tidak banyak di sini,“ katanya menutup perbualan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang