SENTIASA positif dalam merencana kerjaya seninya, pelakon Chelsia Ng mengharapkan agar tahun 2023 bakal menyaksikan lebih banyak hasil karyanya dapat dikongsi dengan peminat.

Membuka tirai tahun baharu, selebriti bukan Melayu kelahiran Pulau Pinang itu bakal tampil dalam drama terbaharu lakonannya, Legenda Puteri Qaseh yang ditayangkan di saluran Astro Ceria, jam 9 malam, setiap Isnin, mulai 9 Januari lalu.

Menurut Chelsia, penampilannya kali ini cukup berbeza apabila diberi peluang membawakan watak sebagai Che Sri Chan Lee Za dalam drama genre fantasi itu.

“Sebelum ini saya sering mendapat watak-watak yang lebih kurang sama sahaja, tetapi kali ini berbeza apabila berpeluang bawa karakter yang sangat kuat dan tidak pernah dibawakan.

“Agak mencabar kerana saya perlu bertutur menggunakan bahasa Melayu yang lebih formal dengan ayat-ayat panjang. Walaupun banyak dialog lucu, tetapi ia harus disampaikan dengan cara berbeza.

“Bagaimanapun saya seronok kerana dapat cuba banyak benda baharu, apatah lagi produksi drama ini sangat kreatif menjadikan semua orang memberikan sepenuh dedikasi untuk memberikan yang terbaik,” ujarnya yang ditemui ketika majlis pelancaran drama tersebut baru-baru ini.

Terikat

Sebagai pelakon bukan Melayu, bintang filem Papadom itu mengakui agak sukar untuknya mempelbagaikan watak kerana sering menerima tawaran lebih kurang sama.

Chelsia (depan kanan) ketika majlis sidang akhbar drama Legenda Puteri Qaseh baru-baru ini.

Hampir dua dekad dalam industri, Chelsia berkata, watak-watak yang diterima sering berlegar dalam ruang sama dan tipikal dengan karakter yang biasa dibawakan.

“Sebagai pelakon Cina dalam industri lakonan berbahasa Melayu, memang agar susah untuk dapat banyak watak dan sering terikat dengan karakter sama.

“Jadi saya tidak boleh terlalu memilih, sebaliknya mengambil pendekatan untuk memberikan yang terbaik bagi setiap peluang yang datang itu.

“Pernahlah rasa kecewa dengan situasi itu, tetapi saya mahu sentiasa bersikap positif dan percaya masih boleh memberikan yang terbaik dalam situasi itu,” katanya.

Tambahnya lagi, kekecewaan itu sentiasa terubat apabila namanya masih menjadi pilihan pihak produksi untuk tampil dengan karya baharu.

“Setiap kali tawaran datang, rasa kecewa itu akan hilang kerana saya sering melihat perkara positif yang ada di sebaliknya.

Iklan

“Berkat kesabaran itu juga, sejak akhir-akhir ini saya mula diberikan watak yang sedikit berbeza seperti yang ditampilkan dalam Legenda Puteri Qaseh ini dan Kudeta,” jelasnya.

Teruja tampil dengan album baharu yang bakal dilancarakan tidak lama lagi.

Album baharu

Dalam perkembangan lain, pelakon yang juga turut dikenali sebagai penyanyi itu bakal tampil dengan album keduanya tidak lama lagi.

“Sebenarnya saya rancang nak keluarkan album ini sejak dua tahun lalu, tetapi ia tertangguh kerana disebabkan pandemik, kos dan pelbagai perkara lain.

“Jadi saya harap, album yang menampilkan lapan atau sembilan lagu itu akan menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Iklan

“Lebih istimewa apabila salah sebuah lagu dalam album tersebut merupakan lagu untuk negeri kelahiran saya, Pulau Pinang. Ia dihasilkan dalam dua versi iaitu Inggeris dan Melayu,” akhirinya.

(FOTO: AZRUL RAFIE – ASTRO & INSTAGRAM CHELSIA NG)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.