LEBIH sedekad berhijrah untuk mencari keredaan ALLAH SWT, penyanyi dangdut popular Iwan Syahman mengakui tenang dengan pilihan kehidupan kini.

Dalam tempoh itu, Iwan tau nama sebenarnya, Wan Syahman Wan Yunus, tidak lagi aktif dalam bidang seni, sebaliknya sibuk dengan aktiviti menyebarkan dakwah di dalam dan luar negara.

Bagaimanapun penglibatannya dalam program pertandingan nyanyian berkonsepkan realiti TV Islamik, terbitan TV AlHijrah iaitu Hijrahkan Laguku bermula 20 November lalu mencuri perhatian ramai.

Menegaskan pendirian, penyanyi yang cukup dikenali menerusi lagu Yang Sedang Sedang Saja itu berkata, dia tidak berhasrat untuk kembali aktif seperti dulu, sebaliknya penyertaan dalam program tersebut adalah salah satu usaha dakwahnya.

“Memang saya sudah lama tidak aktif mengadakan persembahan pentas, apatah lagi muncul di kaca TV setiap minggu begini, jadi mungkin ada yang fikir saya mahu kembali aktif dalam bidang seni.

“Saya bersetuju untuk menyertai program ini bukan kerana mahu kembali glamor seperti dulu, sebaliknya tujuan sangat jelas iaitu saya ingin berdakwah melalui lagu.

“Program ini berkonsepkan nyanyian lagu-lagu ketuhanan. Setiap peserta akan menyampaikan pelbagai mesej positif serta dakwah menerusi lagu pilihan yang digubah liriknya,” jelasnya.

Elak lagu cinta

Tambah Iwan, semenjak berhijrah, dia sebolehnya mahu mengelakkan daripada menyanyikan lagu-lagu bertemakan cinta kepada manusia sebagaimana zaman kegemilangannya sebelum ini.

“Saya masih lagi menyanyi, cuma lagu pilihan saya kini adalah lagu-lagu berunsurkan dakwah dan ketuhanan.

“Mungkin ramai tidak tahu, semenjak berhijrah saya banyak menghasilkan album berunsur dakwah termasuk memperbaharui lagu-lagu popular nyanyian saya dengan menukar liriknya kepada maksud yang lebih baik untuk memuji kebesaran ALLAH SWT dan mengajak orang ke arah kebaikan.

Iklan

“Jadi saya tidak akan sama sekali menyanyi lagu-lagu cinta saya dulu meskipun ada yang meminta. Suatu ketika dulu saya belum kenal agama dan anggap semua itu sebagai sebagai proses kehidupan yang harus dilalui,” katanya.

Bercerita tentang kehidupannya kini, kata Iwan, 61, dia hidup bahagia bersama isteri tercinta, Evie Surriyanti, 32. Perkahwinan kali ketiga pada tahun 2009 itu dikurniakan enam cahaya mata.

Sementara menerusi perkahwinan pertama, Iwan mempunyai tiga anak di mana dua daripadanya iaitu Aprena Manrose dan Oktovia turut bergelar anak seni dan dikenali sebagai pelakon.

Iklan

“Saya tidak halang penglibatan anak-anak dalam bidang seni, sebaliknya beri peluang mereka tentukan pilihan hidup.

“Bagaimanapun sebagai bapa saya memang sentiasa memberikan nasihat dan panduan buat mereka kerana saya ingin lihat mereka berubah. Saya tidak mahu mereka berubah kerana saya, tetapi biarlah datang daripada diri mereka sendiri.

“Alhamdulillah sekarang Aprena dan Oktovia sudahpun bertudung dan manjalani kehidupan yang lebih baik, malah cucu saya (anak kepada Oktovia) kini belajar di madrasah sejak enam bulan lalu,” katanya.