Jalil Hamid terkenang zaman susah 1997         

JALIL HAMID
April 29, 2020
Oleh Aqmar Mustaza

BIARPUN sudah 23 tahun berlalu, namun saat sukar ketika melalui Krisis Ekonomi Asia 1997/1998 masih kekal di ingatan pelakon berkarisma, Jalil Hamid.

Baru berusia sekitar 34 tahun ketika itu, Jalil atau nama sebenarnya Abdul Jalil Abdul Hamid berkata, dia masih ingat bagaimana rakan seangkatan mula menjual kereta mewah dan telefon bimbit untuk membeli barangan yang lebih murah demi kelangsungan hidup.


“Ketika itu, saya ada perniagaan sampingan yang sedikit sebanyak membantu saya meneruskan kehidupan.

“Tapi saya ingat bagaimana kawan-kawan yang pakai kereta mewah jual kereta mereka dan tukar kepada kereta yang lebih murah.

“Begitu juga yang pakai telefon bimbit terkini, mula bertukar kepada telefon yang lebih murah,“ ujarnya kepada Sinar Plus.

Iklan

Dia tidak menafikan seakan-akan melalui situasi sama seperti 23 tahun lalu tatkala penularan pandemik Covid-19 yang melanda Malaysia dan seluruh dunia sekarang.

Jalil yang kini hidup menggunakan baki wang simpanan berkata, dia bimbang sekiranya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlanjutan untuk tempoh yang lebih panjang.

Iklan

“Saya tak berniat untuk menakutkan sesiapa, tetapi apa yang boleh saya katakan, situasi pada masa ini hampir  sama dengan kegawatan ekonomi dulu.

“Ada yang hilang kerja, yang berniaga memberitahu melalui saat sukar apabila perniagaan mereka merosot.

“Malah, saya secara peribadi juga melalui situasi sukar kerana kini hidup hanya dengan wang simpanan yang ada. Untuk tempoh dua hingga tiga bulan lagi Insya-ALLAH cukup.

“Cuma kalau berlanjutan lebih lama, saya bimbang juga. Dahulu saya ada perniagaan, tapi sekarang pendapatan saya menerusi lakonan sahaja.

“Sepatutnya saya memulakan penggambaran sebuah drama beberapa hari sebelum PKP bermula untuk siaran Ramadan.

“Ketika itu, rasa lega kerana saya fikir adalah duit lebih untuk digunakan pada Aidilfitri nanti. Tapi bila penggambaran tak jadi, pendapatan pun tak adalah,“ jelasnya.

Tambah bintang utama Bisik Pada Langit itu, biarpun mempunyai anak yang sudah bekerja, namun dia sedia maklum dengan pendapatan dan komitmen masing-masing.

Nasi jadi bubur

Ditanya mengenai bantuan khas untuk artis seperti yang hangat diperdebatkan  baru-baru ini, Jalil, 63, berkata, dia enggan masuk campur dan ‘penat‘ dengan isu tersebut yang tiada berpenghujung.

Katanya, dia tidak menyalahkan masyarakat yang melihat artis Malaysia hidup mewah kerana ia adalah hakikat yang dikongsi oleh segelintir selebriti hari ini menerusi media sosial.

“Inilah yang dikatakan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Hakikatnya bukan semua artis hidup mewah, bukan semua hero dibayar mahal.

“Cuma bila ada yang kongsi kehidupan mewah mereka, sampai seluar dalam pun nak ditunjukkan, macam mana masyarakat nak percaya artis hidup susah.

“Dalam hal bantuan khas untuk artis ini, saya lihat ia berpunca daripada persatuan yang tidak kuat. Dahulu saya pernah cadangkan, wujudkan koperasi artis.

“Inilah gunanya ketika waktu getir, mana yang susah boleh ambil dahulu barangan daripada koperasi atau boleh buat pinjaman. Tapi siapalah saya, bila bercakap hanya bagai angin lalu. Bila keadaan jadi sebegini, ibaratnya nasi dah jadi bubur.

“Kalau sesama artis tidak bersatu, tidak membela antara satu sama lain, sampai bila-bila kita akan hidup sendiri sahaja,“ luahnya.

Sementara itu, berkongsi aktiviti sepanjang tempoh PKP yang sudah memasuki fasa keempat hari ini, Jalil berkata, dia hanya mengikuti rutin biasa.

Bagaimanapun, dia agak kesal dengan sikap pentingkan diri segelintir rakyat Malaysia yang tidak patuh pada arahan.

“Bagi saya orang sebegini pentingkan diri.

“Saya berharap mereka bertimbang rasalah, fikirkan tentang orang lain. Ingat kita hidup dalam satu masyarakat yang saling memerlukan.

“Secara tak langsung kita sebenarnya ada tanggungjawab pada orang lain. Jadi duduk rumah dan ikutlah arahan kerajaan,“ katanya.

Iklan

About Aqmar Mustaza