SELEPAS berjaya tersenarai sebagai finalis Anugerah Industri Muzik 23 (AIM23) baru-baru ini, kumpulan nasyid One Path tidak menunggu lama untuk hadir dengan buah tangan terbaharu buat para peminat hiburan dakwah.

Kumpulan yang dianggotai oleh Ammar, Haseef, Afiq dan Shafiq itu kini tampil dengan single berjudul Laila Majnun.

Lagu itu yang baru sahaja dilancarkan pada 1 Oktober lalu membawakan penceritaan kisah cinta yang masyhur antara Laila dan Majnun.

Biarpun kisah tersebut berakhir dengan tragedi, perjalanan cinta pasangan itu dipersembahkan dalam perspektif yang berbeza.

Istimewanya kali ini One Path berpeluang bekerjasama dengan penyanyi nasyid yang tidak asing lagi, Nazrey Johani yang juga merupakan bekas vokalis utama kumpulan nasyid, Raihan.

Percubaan pertama gandingan generasi perintis dan baharu nasyid itu nyata memberikan impak apabila lagu Laila Majnun berjaya menduduki tangga trending di YouTube
Trending for Music dan Trending Now sepanjang tempoh minggu pertama dilancarkan.

Menyedari harapan besar peminat yang diletakkan ke atas bahu mereka, Haseef mewakili kumpulan One Path bertekad untuk tampil dengan karya-karya terbaik demi meneruskan legasi nasyid pada era TikTok.

“Tanggungjawab ini agak berat bagi pendatang baharu seperti kami. Ditambah pula kami semua pemalu bila berdepan khalayak ramai,

“Namun apabila perasaan itu muncul, kami akan berfikir dan muhasabah. Bagaimana situasi dunia hari ini andai baginda Rasulullah SAW malu nak berdakwah kepada kaum Arab
Jahiliah suatu masa dahulu, adakah Islam akan sampai kepada kita hari ini?

“Besar pengorbanan Rasulullah SAW nak pastikan kita dapat merasai nikmat Islam hari ini. Kini tiba giliran kami meneruskan legasi dakwah itu,” ujarnya.

Iklan

Ubati rindu

Bagi Nazrey pula, tiada apa yang dirasai selain rasa syukur kepada ALLAH SWT atas penerimaan positif lagu Laila Majnun.

NAZREY JOHANI

“Macam-macam perasaan saya rasa apabila baca respons warga maya. Gembira, terharu, syukur, semuanya bercampur.

Iklan

“Saya sangka ramai yang sudah melupakan orang lama seperti saya yang dah jarang muncul depan media. Rupanya masih ada, terutama sekali daripada peminat-peminat kumpulan lama saya, Raihan.

“Mudah-mudahan dengan adanya Laila Majnun ini dapat mengubati rindu kalian terhadap Raihan yang dulu,” katanya.

Laila Majnun kini sedang hangat dimainkan di stesen-stesen radio seluruh negara dan juga di semua platform digital.