KONTROVERSI berkaitan petikan video daripada drama Perempuan Itu yang dimuat naik oleh pelakon Zul Ariffin pada Jumaat lalu terus hangat diperkatakan orang ramai yang menyifatkan ia sebagai satu tindakan yang melampau.

Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) dalam satu kenyataan kepada media berkata, pihaknya memandang serius dan mengambil berat akan suara dan pandangan orang ramai mengenai video terbabit yang kini tular di media sosial.

“Adegan yang dipaparkan sememangnya tidak sesuai untuk disiarkan apatah lagi bagi tujuan promosi. Malahan adegan tersebut juga tiada dalam perbincangan atau mendapat kelulusan daripada pihak stesen.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana pengisian drama-drama tempatan perlu mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF),” tegasnya.

Dalam masa sama, TV3 turut mengingatkan semua pihak meliputi produksi dan para pelakon supaya menjadi lebih peka kepada tindak-tanduk yang dilakukan serta menjaga sensitiviti agama dan masyarakat terutamanya dalam menjayakan mana-mana karya.

Iklan

Terdahulu Zul menerima kecaman ramai apabila memuat naik petikan beberapa babak panas yang melibatkan lakonannya bersama pelakon Siti Hariesa dalam drama yang dijangka bakal ditayangkan di TV3 pada Ramadan ini.

Iklan

Video tersebut bukan sahaja hangat diperkatakan warga maya, tetapi turut mendapat perhatian daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad yang menegur perlakuan tersebut pada Sabtu.