PENAMPILAN Herman Tino dengan rambut kerinting serta bersongkok senget pernah menjadikannya fenomena dalam kalangan peminat industri seni muzik tempatan terutama pada era 1980-an.

Herman atau nama sebenarnya, Masron Tamsi yang pernah popular dengan lagu Yale Yale dan Mengapa Dikenang Mengapa Difikir kini sudah melewati usia 66 tahun.

Apakah perkembangan terkini pelantun lagu genre asli dan pop Melayu tersebut? Berbual dengannya baru-baru ini memberi peluang kepada SinarPlus untuk bertanya lanjut.

Kata Herman, beliau kini menghabiskan masanya bersama keluarga tersayang di Kampung Sungai Gulang-Gulang, Tanjong Karang, Selangor.

herman tino

Teratak indah yang dibina dengan rekaan penuh seni klasik itu pernah penulis kunjungi selepas beliau mengumumkan bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Tanjong Karang beberapa tahun lalu.

Tatkala diajak mengimbau kenangan penglibatannya dalam arena politik, beliau berkata: “Itu cerita lama. Sekarang ini saya tenang di kampung selepas isteri, Noraini Ibnu pencen. Bolehlah cari ilham untuk karya lagu baharu di sini yang tenang dan mendamaikan selain berehat dengan cucu.

“Sebenarnya, saya masih aktif menyanyi dan menerima undangan cuma tidak serancak dulu. Barangkali disebabkan Covid-19, banyak job batal, tapi saya okey dan faham.“

herman tino

Ujar selebriti malar segar itu, pada usianya kini, populariti bukan satu keutamaan kerana prinsipnya cuma satu iaitu hanya menginginkan karya seni dihargai dan dikongsi bersama para peminat.

“Bagi saya, apa yang penting, saya masih mampu berkarya dan menyanyi dengan lagu-lagu berkualiti sebab saya percaya, kalau lagu bagus, karya bagus, orang akan cari.

“Insya-ALLAH, nama penyanyi itu juga akan terus kekal di hati peminat walaupun tidak lagi muncul di kaca televisyen mahupun persembahan pentas,“ katanya datuk kepada empat cucu itu penuh ketegasan.

Artikal berkaitan: Pak Lah Cecupak mohon doa, sokongan kewangan untuk tanggung kos perubatan          

Ranjau seni

Terus berbicara mengenai dunia seni, penulis cuba menyingkap kembali bagaimana nama Herman Tino tercipta.

“Nama Herman Tino ini ada kisahnya tersendiri. Gabungan nama Herman itu adalah nama emak, Hasiah, pakcik saya, Erham yang banyak bantu saya dan nama cikgu nyanyian, AJ Ajman.

herman tino

“Tino pula gabungan nama ayah iaitu Tamsi dan anak lelaki sulung saya, Yusno. Nama pentas ini sangat bermakna buat saya sebab banyak kisah di sebaliknya yang kalau diceritakan, panjang pula artikel awak nanti,“ katanya berseloroh.

“Keluarga kami sebenarnya hidup miskin. Saya masih ingat lagi kata-kata bapa saya yang menyebut ‘bapa ni papa kedana, cita-cita bapa mahu jadi miskin saja, kalau kamu mahu jadi penyanyi dalam keadaan papa kedana, lebih baik jadi miskin saja.

Iklan

Artikal berkaitan: Busking jalanan buat bintang Roy kembali bersinar

“Jadi miskin, orang boleh bagi pinjam duit. Jadi miskin dahulu baru jadi penyanyi. Hidup jadi papa kedana ni kais pagi makan tak tentu dan tiada siapapun pandang,“ ceritanya.

Mendengarkan kata-kata bapanya yang penuh dengan maksud tersirat dan mendalam, beliau terus nekad berhijrah ke ibu kota untuk mencari rezeki yang lebih baik.

herman tino

Benarlah, rezeki memang tidak pernah salah alamat apabila beliau berkenalan dengan anak Seniman Agung Negara, Nasir P Ramle.

“Saya sebenarnya tidak kenal sangat Nasir sebab kawan yang kenalkan dan tidak sangka, beliau berlapang dada untuk bantu bawa bakat saya dengan perkenalkan saya dengan komposer terkenal, S Atan di Singapura.

Iklan

“Bila dimaklumkan saya dipilih untuk menjadi artis rakaman ketika itu, hanya ALLAH sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu. Punyalah seronok,“ imbaunya yang sempat merakamkan beberapa album.

Artikal berkaitan: Dulu sibuk dengan dunia seni, kini Raja Ema fokus acar buah resipi keluarga

Adakah Herman berhasrat untuk kembali semula ke pentas nyanyian pada usia emas ini?

“Kalau diberi peluang, saya juga mahu muncul kembali dengan lagu baharu. Tunggulah jika ada rezeki nanti, saya akan kongsikan karya terbaik untuk semua peminat.“

PROFIL

  • Nama: Misrun Tamsi
  • Nama komersial: Herman Tino
  • Umur: 66 tahun
  • Asal: Tanjong Karang, Selangor
  • Isteri: Noraini Ibnu
  • Lagu: Kupendam Biarpun Parah, Akibat Putus Cinta, Pelita Dalam Kabus
  • Cinta Tertahan-tahan, Ojo Kesandung, Kamar Sepi, Mengapa Dikenang Mengapa Difikir
  • Album: Melayu Beli 1983, Album Melayu Klasik Herman Tino & Zaleha Hamid, Akibat Putus Cinta
  • Facebook: Herman Tino
  • Instagram: @hermantino512