JENAZAH pelakon Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy, 43, telah selamat dikebumikan pada pukul 11.45 pagi (12.45 tengah hari waktu Malaysia) di Pemakaman Waqaf Pasar 4 Klambir Lima Kampung, Medan, Indonesia, pada Isnin.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah, pihaknya bersama keluarga serta anak Benjy sempat menyaksikan proses pengebumian itu menerusi siaran langsung video.

“Alhamdulillah semua urusan dipermudahkan oleh Allah untuk Benjy pulang ke negara abadi. Andai ada kesilapan yang pernah arwah lakukan saya memohon semua pihak untuk memaafkan Allahyarham dunia dan akhirat.

“Sesungguhnya Benjy adalah seorang manusia yang sangat kuat dan hebat untuk lalui segalanya dengan sendiri sehingga hujung nyawa,” katanya dalam satu kenyataan.

Proses pengebumian arwah Benjy diuruskan oleh pihak penjara.

Sementara itu, mewakili pihak keluarga, adik Benjy, Elza Irdalynna, mengucapkan terima kasih kepada pihak yang menyumbang dana bagi menampung kos pengebumian abangnya.

“Alhamdulillah, Ben telah selamat dikebumikan lebih kurang jam 12.45 tengah hari waktu Malaysia. Kami menyaksikan proses pengebumian itu menerusi panggilan video aplikasi WhatsApp bersama wakil daripada pihak penjara.

“Pihak penjara juga memaklumkan kami tidak perlu membayar apa-apa kos pengebumian kerana mereka telah selesaikan. Terima kasih kepada semua pihak yang menawarkan untuk membiayai kos pengebumian.

“Jika anda masih mahu menyumbang, boleh salurkan kepada mana-mana badan kebajikan di atas nama Ben dan sedekahkan Al-Fatihah juga.

Iklan

“Kami sekeluarga sangat berterima kasih dan terhutang budi dengan Penjara Tanjung Gusta Madan atas setiap bantuan dan urusan berkenaan Benjy.

“Dan kami berterima kasih sekali lagi kepada setiap pihak, individu, organiasis, masyarakat atas setiap doa dan ucapan takziah yang dikirimkan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Iklan

Terdahulu, semua urusan jenazah Benjy diuruskan oleh pihak Penjara Tanjung Gusta dan Konsulat General Malaysia di Medan.

BACA JUGA Benjy Meninggal Dunia Di Medan