PENULARAN virus Covid-19 menjadi antara punca pengacara dan usahawan, Karl Shafek tidak bergiat aktif dalam bidang seni.

Pelakon teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck itu juga mengakui ingin memberi fokus kepada pengurusan kesihatan mental dan fizikal sebelum kembali sibuk dengan aktiviti pengacaraan.

Kata Shafek atau Khairul Shafek Ibrahim, 41, beliau enggan membebankan sesiapa jika tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya.

“Sejujurnya saya memang menerima banyak tawaran sebagai pengacara program televisyen. Namun, disebabkan terikat dengan tanggungjawab lain, saya tidak mampu untuk melakukannya kerana bimbang akan menyusahkan mana-mana pihak.

“Sebelum ini juga sibuk menguruskan pertunjukkan fesyen untuk acara Minggu Fesyen Kuala Lumpur pada awal November lalu selain sedar tahap kesihatan sekarang tidak sekuat dulu memandangkan usia juga sudah meningkat. Jadi saya mungkin tidak dapat untuk berlari ke sana ke sini seperti dulu,” jelasnya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Dulang Kafe di Kelana Jaya baru-baru ini.

MAJLIS pelancangan outlet pertama Dulang Kafe di Kelana Jaya baru-baru ini.

Pelancaran tersebut secara tidak langsung telah merealisasikan impian bekas peserta rancangan Masterchef Selebriti Malaysia itu untuk menceburkan diri dalam bidang penyediaan makanan dan minuman.

Selain itu, Shafek selaku Pengarah Urusan Kafe Dulang Sdn Bhd turut menyasarkan untuk meluaskan cawangan restoran sekali gus menjadikannya sebagai francais.

“Saya ingin membuka kedai makan yang menyediakan hidangan kegemaran saya seperti nasi ambeng. Secara peribadi ini adalah pencapaian terbaik saya untuk memberikan peluang perniagaan kepada pengusaha makanan dan orang ramai di luar sana.

Iklan

“Dulang Kafe dikendalikan di bawah Perniagaan Kafe Dulang Sdn Bhd yang diasaskan oleh Yang Mulia Tunku Kurshiah Aminah Atiah dengan konsep hidangan makanan dalam dulang.

HIDANGAN nasi ambeng Singapura antara menu tarikan di Dulang Kafe.

“Setelah mendapatkan sambutan yang menggalakkan menerusi cawangan pertama di Nusa Jaya, Johor kami merancang untuk mengembangkannya ke beberapa lokasi lain seperti Cyberjaya, Putrajaya, Danau Kota, Masjid India dan Kota Bahru,” ujarnya.

Nasi ambeng Singapura dan sup tulang merah antara hidangan yang ditawarkan oleh Dulang Kafe.

Iklan

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram