PENGELUAR produk air boba berasaskan madu, Bubblebee Sdn Bhd mengambil keputusan untuk menutup sementara empat cawangan berkuat kuasa serta-merta.

Empat cawangan terbabit ialah Bubblebee Ampang, Senawang, Sentul dan Sungai Buloh.

Ketua Pegawai Eksekutif Bubblebee Sdn Bhd, Datuk Ismail Abdul Rahman dalam satu kenyataan berkata, tindakan dilakukan susulan penamatan usahasama di antara rakan usahasama yang menguruskan empat cawangan terbabit.

“Kami sedar, belakangan ini tular berita mengenai rakan usahasama kami yang disiasat oleh pihak berkuasa berkenaan kegiatan yang telah menjejaskan reputasi Bubblebee.

“Hal ini turut menyebabkan salah seorang ahli lembaga pengarah kami telah dipanggil bagi membantu siasatan.

“Walaupun kami sendiri tidak pasti tentang kebersalahan rakan usahasama cawangan kami ini kerana kes ini masih dalam siasatan pihak berkuasa, tetapi yang jelas, siasatan ke atas rakan usahasama ini telah mendatangkan kesan negatif yang mampu menjejaskan reputasi perniagaan kami dengan teruk sekali,” ujarnya.

Bagaimanapun, dalam kenyataan yang sama, Ismail berkata, pembukaan semula keempat-empat cawangan itu akan diumumkan di platform komunikasi rasmi Bubblebee selepas proses pengambil-alihan selesai.

Iklan

“Kami mengucapkan terima kasih dan selamat berjaya kepada semua rakan usahasama yang telah menyokong jenama minuman kami selama ini.

“Kami juga sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam semua urusan.

Iklan

“Sebagai sebuah syarikat, kami komited untuk terus membangunkan jenama minuman ini di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Sehingga hari ini, Bubblebee yang ditubuhkan pada hujung tahun 2019 itu mempunyai 17 cawangan di seluruh negara. 11 cawangan merupakan milik penuh Bubblebee, manakala enam cawangan lagi dibuka secara usahasama.