PENERBIT, pengarah dan pelakon, Erma Fatima memohon Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengkaji semula syarat buat industri kreatif kembali bekerja dalam fasa dua Pelan Pemulihan Negara.

Menurut Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad, 53,  semakin hari, semakin ramai orang dalam industri terutamanya yang bekerja di belakang tabir hidup sengsara kerana tidak mempunyai punca pendapatan sehingga di halau keluar daripada kediaman.

“Kes Covid-19 semakin naik, kita tak ada masa sama ada untuk larikan diri atau menyorok tapi terus fikir bagaimana nak teruskan kehidupan dengan adanya wabak tersebut.

“Sampai bila kami tidak boleh bekerja? Macam penerbit tak apalah ada simpanan. Tetapi ramai kru sengsara bila tak ada pendapatan.

“Ada yang kena tendang, dihalau keluar dari rumah kerana mereka tak mampu bayar sewa rumah atau kena potong elektrik.

“Tolonglah bagi jalankan penggambaran, kalau drama pun tak apa, supaya dapat jana pendapatan, ramai sangat yang sedang terseksa,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama Lockdown pada Selasa.

Mengulas mengenai syarat-syarat untuk industri kreatif yang diumumkan baru-baru ini, Erma menyifatkan ia tidak masuk akal selain membebankan produksi.

Iklan

“Mereka tetapkan sesiapa yang mahu memulakan penggambaran untuk ambil dua dos vaksin terdahulu. Ia adalah perkara yang mustahil. Sampai bila nak tunggu semua lengkap dua dos? Bagaimana kalau ada yang tidak boleh ambil vaksin kerana alahan?

“Kenapa tak tetapkan syarat ambil ujian calitan seperti sebelum ini? Kita tak pernah wujud sebarang kluster lagi.

Iklan

“Bagilah peraturan yang berakal sikit, jangan main letak perkara tak masuk akal. Itu ibarat bagi tapi sebenarnya tak nak bagi (kebenaran).

“Kaji, fahami industri seni dahulu sebelum menetapkan syarat ,” ujarnya.