PANDEMIK wabak Covid-19 mampu menjangkiti sesiapapun tidak kiralah orang kenamaan, rakyat marhaen mahupun golongan artis.

14 hari berdepan tempoh kuarantin kerana menjadi contact rapat kepada pesakit koronavirus bukannya mudah. Jika tidak kuat, fizikal dan mental boleh terganggu.

Begitulah situasi yang dihadapi penyanyi muda yang popular dengan lagu Luar Biasa, Ismail Izzani yang turut berdepan situasi mencemaskan apabila dikatakan menjadi contact rapat kepada rakan artis yang disahkan positif wabak itu.

Pencipta lagu dan pelakon yang kian meningkat naik itu menyifatkan proses kuarantin selama 14 hari adalah tempoh yang cukup mencabar apabila gaya hidupnya berubah 360 darjah.

ismail izzani

Terasing daripada insan tersayang seperti keluarga dan rakan-rakan membuatkan pemuda berusia 20 tahun itu banyak termenung, hilang semangat dan motivasi untuk mencipta lagu.

Antara kata-katanya:

Perubahan gaya hidup tersebut bukan mudah. Saya tinggal bersendirian dan kesepian berpanjangan serta kekangan kebebasan membuatkan saya hilang semangat dan motivasi.

“Semasa saya cuba memotivasikan diri dengan mencipta muzik, kebanyakan sumber inspirasi utama saya datang daripada hubungan terutama daripada mereka yang berada di sekeliling saya.

“Ketika ini, yang telah banyak membantu kesihatan mental saya untuk terus menghabiskan pengasingan adalah media sosial dan aplikasi mesej seperti Snapchat yang sangat membantu saya kekal berhubung dengan rakan dan keluarga.”

Barangkali tidak mahu melayan emosi dan rasa panik, pemilik nama sebenar Ismail Izzani Zainal Nazeri itu menjadikan media sosial sebagai penghubung buat orang tersayang.

Sepanjang tempoh kuarantin itu juga, anak kelahiran Ampang Selangor itu juga menyedari sesuatu iaitu pentingnya hargai insan tersayang dan sokongan moral sebagai penguat semangat untuk menjalani tempoh kuarantin.

ismail izzani

Menurut Ismail Izzani, tempoh kuarantin meninggalkan kesan mendalam dalam hidupnya dan dirinya. Namun, beliau percaya bahawa untuk sentiasa kekal berhubung antara satu sama lain mampu membantu memberikan motivasi.

Iklan

“Selain daripada menghantar teks, ambil masa untuk membuat panggilan video kepada seseorang, tunjukkan senyuman, kongsikan gambar daripada kehidupan seharian anda.

“Berhubung dengan insan tersayang telah membantu saya merasa lebih dekat kerana dapat meluahkan perasaan dan berinteraksi dengan mereka lebih daripada sekadar perkataan. Ia adalah perkara yang terbaik selain daripada bersemuka secara langsung,” tulisnya.

ismail izzani

Tempoh kuarantin juga membuatkan pemuda itu reda dan mensyukuri apa yang berlaku kerana dapat peluang berehat di rumah dan mempersiapkan diri untuk perjalanan hidup pada masa akan datang.

“Ramai orang lain tidak beruntung seperti saya terutama dalam kalangan pemuzik atau artis-artis yang baru bermula. Kekangan untuk keluar dan membuat persembahan membuatkan mereka sangat sukar mencipta nama.

Iklan

“Ada banyak cara kita boleh menyokong mereka, sama ada melalui penstriman lagu mereka, meminta lagu mereka dimainkan di radio atau menunjukkan sokongan dan penghargaan kepada mereka di media sosial.

“Ini adalah masa yang getir untuk kita, saya berharap semua orang akan kekal kuat ketika kita sama-sama melawan pandemik ini,” katanya.

Sikap positif yang ditunjukkan artis muda itu wajar dicontohi dan bagi mereka di luar sana, sentiasa berwaspada dan jaga penjarakkan sosial demi membendung wabak yang menakutkan semua kini.