PELAKON Elfira Loy berkongsi berita duka apabila nenek kesayangannya, Siti Rokiyah Saad, menghembuskan nafas terakhir akibat jangkitan virus Covid-19.

Menurut Elfira, neneknya pada awalnya dimasukkan ke hospital untuk menjalani pembedahan pada bahagian kaki dan menghidap penyakit kencing manis.

“Atuk (panggilan untuk nenek) dimasukkan ke hospital untuk pembedahan kaki. Alhamdulillah semua ok, cuma perlu duduk di hospital untuk pemerhatian.

“Selepas beberapa hari, tiba giliran atuk untuk mengambil vaksin. Alhamdulillah semuanya ok, atuk tak mengalami sebarang simptom teruk.

“Bagaimanapun selepas lima hari tak silap saya, atuk disahkan positif disebabkan ada penularan dalam wad. Ada berbelas orang disahkan positif.

“Ia terjadi di dalam hospital. Puncanya dari siapa masih tak tahu. Memang terkilan, tetapi ALLAH yang menentukan. Kami reda dengan ketentuan ini,” kongsinya menerusi Instagram miliknya.

Siti Rokiah (bertudung kelabu) mendapat jangkitan Covid-19 ketika dirawat di sebuah hospital.

Pada perkongsian berbeza, Elfira, 27, turut menitipkan kata-kata terakhir buat nenek kesayangannya.

Iklan

“Atok, Fira sayang atok. Fira takkan lupa doa untuk atok hari-hari. Fira minta pada Allah supaya atok tenang di sana, hiasi kubur seperti di taman syurga.

“Fira minta atok tak rasa keseorangan. Atok tak suka duduk seorang kan. Fira ada di sini. Solat, doa dan sedekah untuk atok. Al-fatihah atok, Siti Rokiyah Saad,” tulisnya lagi.

Iklan

Sebelum ini, Elfira pernah berkongsi neneknya dijangkiti Covid-19 pada 8 Jun lalu dan menerima rawatan serta menjalani kuarantin di sebuah hospital.