PENYANYI popular negara, Haqiem Rusli kini telah sah bergelar suami kepada gadis jelita, Anis Sofea dengan dua kali lafaz di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya pada jam 3.40 petang tadi.

Menerusi majlis akad nikah yang berlangsung sederhana namun meriah itu, pasangan tersebut disatukan oleh jurunikah Ustaz Zamzuri Ruslan, bersaksikan keluarga tercinta dan kenalan rapat pasangan.

Haqiem Rusli atau nama sebenar Ridzuan Haqiem Rusli, 24, menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300, selain lima dulang hantaran berbalas lima kepada Anis Sofea atau nama sebenarnya Wan Anis Sofea Wan Zamzuri, 19.

Pasangan sama cantik sama padan ini memanjat kesyukuran kerana hari bahagianya berjalan dengan lancer. Mempelai diraikan dalam majlis tertutup yang hanya dihadiri oleh keluarga tercinta, kenalan rapat dan media sahaja mengikut prosedur operasi standard (SOP) penganjuran majlis perkahwinan dan sosial yang telah ditetapkan dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara Fasa 4.

Haqiem
Kredit gambar: CST Production

Haqiem

Sama cantik sama padan, Haqiem kini selamat bergelar suami Anis Sofea

Meraikan hari yang bahagia itu, pasangan tersebut telah memilih untuk mengadakan majlis perkahwinan dan resepsi secara tertutup bertemakan ‘Wedding in the Sky’ atau ‘Raikan Cinta di Langit Asmara’ bertempat di SkyGlass, Cyberjaya.

Pasangan yang bagaikan pinang dibelah dua itu telah menjalin percintaan sejak dua tahun lalu ketika berkenalan semasa menjalankan urusan perniagaan.

Baca juga Tetap 7 syarat untuk berjumpa, suami Nynaa Harizal keliru

Menurut Haqiem, Anis Sofea merupakan seorang yang amat sempurna buatnya. Dia sangat senang dengan sikap, budi pekerti, sifatnya yang lemah lembut serta ketrampilan gadis itu yang membuatkan Haqiem jatuh cinta padanya.

Manakala Anis Sofea pula mengakui sifat Haqiem yang penyayang, prihatin, bertanggungjawab, bercita-cita tinggi dan berbudi pekerti membuatkan dirinya terpikat.

Terdahulu, penyanyi lagu Tergantung Sepi dan Mimpi ini membuat kejutan dengan mengumumkan tarikh mendirikan rumah tangga ketika berucap selepas kemenangannya pada malam kemuncak ABPBH 34.

Pasangan berkenaan turut akan diraikan malam ini dalam majlis resepsi bertemakan Seputih Salju di sebuah lokasi di pinggir ibu kota dipanggil Sky Glass.

Tahniah Haqiem Rusli!

Kredit gambar: CST Production