“Jangan takut untuk salah kerana dengan kesalahan pertama yang dibuat, kita dapat menambah pengetahuan untuk mencari jalan yang benar untuk langkah yang kedua.“

Frasa ringkas yang dipetik daripada sasterawan ulama terkenal Indonesia, Hamka antara lain membicarakan tentang perubahan seseorang untuk menjadi lebih baik.

Sesetengah orang berpendapat, kata-kata agamawan tersebut nampak klise. Bagi mereka, membaca bait-bait itu tidak lain hanya memperlihatkan seseorang perlu belajar daripada kesilapan.

Namun, kekuatan serangkai perkataan itulah yang lazimnya akan mendorong seseorang untuk tidak mengulangi kekhilafan lampau. Biarlah segalanya berlalu seperti air sungai yang mengalir ke muara.

Bercakap fasal perihal berubah, penulis berkesempatan menemubual selebriti dan pengacara terkenal negara, Nana Mahazan baru-baru ini. Pastinya intipati wawancara adalah berkisar mengenai penghijrahannya mengenakan hijab pada 1 Muharam 1443H lalu.

Sempena tarikh menghargai dan meraikan perpindahan Nabi Muhammad SAW dari kota Makkah ke Madinah, Nana tekad membulatkan hati untuk menutup aurat seperti yang dituntut syariat, sekali gus menyerlahkan sisi terbaik beliau.

Ketika kami bersembang, selebriti jelita berusia 38 tahun itu membutirkan kata-kata dengan penuh keyakinan yang membuatkan penulis terpaku sejenak. Tegasnya, bertudung bukanlah semata-mata untuk mengubah stail fesyen. Seperti yang dibutirkan oleh Hamka, kata Nana, beliau ingin memperbaiki diri agar dapat menjadi seorang Muslimah yang lebih baik dari sebelumnya.

NANA mengharapkan penghijrahannya ini dapat membantunya untuk sentiasa memperbaiki diri dan menjadi insan yang lebih baik.

“Pada saya, penghijrahan satu momen murni dan saya akui segalanya masih dalam proses untuk membina diri menjadi lebih baik. Saya tetap Nana yang sama dan tiada perubahan untuk itu, kecuali sisi kerohanian yang terasa ingin dekat dengan SANG PENCIPTA.

“Saya juga tidak menyesali apa yang pernah dilakukan sebelum ini kerana segalanya sudah berlalu dan menjadi pengalaman buat saya sekarang. Anggap sahaja apa momen silam itu sebagai satu sesi pembelajaran buat saya agar sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri,“ luahnya.

Ibu kepada dua cahaya mata itu terus galak bercerita. Pemilik nama lengkap Nurul Hana Che Mahazan mengakui, transisinya juga ada kena mengena dengan penglibatan beliau yang sudah mencecah dua dasawarsa dalam dunia hiburan.

Sepanjang tempoh itu, meskipun pelbagai ranjau dan sepak terajang yang menerjah dalam kitaran hidup, rezekinya tidak pernah putus.

Kurniaan daripada ILAHI yang mencurah-curah itu membuatkan artis kelahiran program realiti Akademi Fantasia 1 tersebut melihat refleksi dirinya menerusi cerminan duniawi.

Secara perlahan-lahan, beliau mula memperbetul diri dan memperkemaskan jiwa serta batin dengan mendekatkan diri dengan agama.

“Dari hari ke hari, saya sentiasa terfikir, mengapa sukar untuk dikorbankan mahkota wanita (rambut) ini untuk menutup aurat? Saya telah berusaha sedaya upaya, namun tertanya-tanya mengapa masih tidak bertudung?

“Oleh itu saya berdoa dan terus berdoa tanpa jemu. Saya menyerahkan diri sepenuhnya kepada ALLAH YANG MAHA ESA. Kemudian, saya fikir, ini adalah masa yang sesuai untuk berubah menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya. Akhirnya hati ini secara ikhlas mencapai dan terus memakai hijab,“ jelas penyanyi lagu Katakan itu.

Revolusi imej

Setiap baris ayat yang terpacul dari mulut Nana membuatkan penulis kagum. Namun, sudah namanya selebriti, pastinya apabila sudah bertudung litup, gaya fesyen akan terus berubah.

Jika anda melayari laman Instagram @nanamahazan, penghijrahan beliau sememangnya serius. Pemakaian personaliti itu menterjemahkan segalanya.

Sebelum ini, Nana dikenali sebagai selebriti yang memiliki pesona, berketrampilan dan bijak bergaya. Apa sahaja yang disarungkannya nampak kena dan cantik. Kepelbagaian fesyennya sering ditonjolkan menerusi tanda pagar #ootdnanapagar.

BERHIJAB tidak membataskan Nana untuk tetap tampil bergaya, namun tetap menjaga batas agar tidak keterlaluan.

Justeru, apakah revolusi imej yang akan dibawakan dan adakah dengan berhijab telah mengehadkan semua? Sebaik soalan itu dimajukan, Nana terus berhujah: “Saya tidak bersetuju apabila wujud pandangan mengatakan bertudung itu menghalang daripada seseorang untuk bergaya atau berfesyen. Seperti yang dikatakan, saya tetap Nana yang sama. Pada saya, penampilan adalah satu hal yang mustahak terutama apabila ingin muncul di kaca televisyen.

“Berbeza sekarang saya lebih memilih untuk menggayakan fesyen yang lebih sederhana (modest) dan yang paling penting bersesuaian dengan keadaan saya sekarang.“

Beritahu pengacara popular itu lagi, beliau kini sedang dalam proses mempelajari pelbagai jenis aliran inspirasi, terutamanya padanan busana bersaiz besar dan longgar agar tidak bertentangan dengan prinsip dan agama.

Nampaknya, cita rasa fesyen Nana masih tinggi, elegan, rapi dan anggun, meskipun menutup aurat sepenuhnya. Pendek kata, auranya masih memukau dan bakal menjadi pencetus trend dalam pakaian bersaiz baggy.

Sasaran

Seiring dengan peralihan indah tersebut, bekas penyampai radio itu turut memahat navigasi yang lebih luas. Kepada SinarPlus, Nana berkata, beliau mahu membantu dan memberi semula kepada masyarakat.

Mengusahakan perniagaan berupa kecantikan dan makanan di bawah label Nana Mahazan Beauty dan Selauk Nana, dirinya melaungkan azam untuk membantu seramai mana individu agar bersama-sama meraih kehidupan yang selesa menerusi jaringan perniagaan miliknya.

Sebagai usahawan, beliau tidak boleh terus gembira dan berseorangan berada di peterana yang selesa berhawa dingin, sedangkan orang lain perlu bersusah payah untuknya.

Demi mencapai impian murni berkenaan, Nana tidak jemu untuk menimba ilmu bagi ‘mengasah senjata‘ agar lebih bersedia untuk bertempur di medan perniagaan.

NANA ingin memberi fokus kepada keluarga dan berusaha membantu individu lain yang memerlukan selagi hayat dikandung badan.

Justeru, sebagai langkah selanjutnya, beliau menghadiri kelas dalam talian bersama Pakar Pemasaran Asia, Datuk Wira Dr Azizan Osman.

Selepas beberapa siri bersama mentor usahawan itu, Nana mengakui, bukan mudah untuk menitip kejayaan, apalagi meraih keselesaan.

Iklan

Ibu kepada Althea, 11, dan Aaqib, 8, itu juga memberitahu, disiplin, kesabaran, kesungguhan dan bijak membahagikan masa sangat signifikan untuk menjadi seorang yang mampu melakukan pelbagai tugas, sementelah beliau sendiri ada keluarga perlu dijaga.

“Selagi saya mampu untuk berusaha keras, saya akan lakukan yang terbaik demi anak-anak dan keluarga. Saya bimbang jika sesuatu berlaku kepada saya, masa depan anak-anak sudah terjamin, begitu juga simpanan pendidikan mereka apabila dewasa kelak.

“Fokus saya sekarang adalah untuk memberi sebanyak yang mungkin. Sekiranya dengan menambah pendapatan ini dapat membantu mereka berjaya, saya sanggup lakukan. Memang tidak dinafikan saya perlu berdepan dengan tekanan, penat, sibuk, tetapi itulah cabaran untuk seseorang berjaya.

“Tidak mungkin dengan hanya duduk sahaja menanti bulan jatuh ke riba tanpa usaha. Saya juga telah meletakkan sasaran untuk bekerja bersungguh-sungguh sekarang ketika kudrat masih banyak. Apabila sudah berumur 70 atau 80 tahun mustahil untuk bekerja keras lagi. Ketika usia sudah lanjut, saya bersedia untuk bersara,“ terangnya panjang lebar.

Istimewa kucing sphynx

Benar, inti perbualan penulis dan Nana bernada serius. Namun, penulis tidak berhasrat untuk terus berbual hal-hal yang terlalu genting.

Maka, kami menghalakan topik tentang dirinya yang sangat mencintai kucing.

Mungkin sudah ramai yang mengetahui kucing jenis apa yang dimilikinya sehingga menjadi buah mulut ramai. Mana tidaknya, Nana memiliki kucing daripada baka sphynx yang merupakan antara spesies yang bukan kategori popular untuk dipelihara.

Berbanding dengan Maine Coon, Parsi, Ragdoll, Bengal, Exotic Shorthair atau Munchkin yang tidak asing dalam kalangan masyarakat setempat, sphynx memang istimewa.

Iklan

Jelas Nana, beliau tidak memelihara haiwan berdasarkan ‘kecantikan‘ atau ‘rupa paras‘, sebaliknya lebih mahu mencurahkan kasih dan sayang kepada haiwan kesayangan Rasulullah itu.

Sejak memelihara kucing yang diberi nama Tiguan atau panggilan manjanya Tiggy sekitar April lalu, Nana merasakan haiwan tersebut sudah cukup sehati dan sejiwa dengannya.

TIGA ekor kucing yang menjadi haiwan peliharaan dan kesayangan Nana di rumah.

Biarpun dijaga ketika Tiggy mencecah umur lapan bulan, namun keserasian Nana dengan haiwan peliharaannya itu ternyata ngam.

Walaupun wajah kucing Sphynx nampak seperti garang, ia adalah seekor haiwan yang penyayang, ramah dan suka bermain dengan manusia.

Pastinya menjaga haiwan yang eksotik memerlukan kos yang tinggi. Mendengarkan persoalan itu, Nana lantas berkata: “Sekiranya bercakap tentang kos, pada saya semua haiwan itu sama kerana penjagaan kesihatan dan kebersihan mereka sangat penting. Namun, bagi saya, itu lebih bersifat materialistik kerana penjagaan emosi dan perasaan mereka lebih penting.

“Kucing-kucing itu makhluk hidup. Bagi baka sphynx ini misalnya, ‘mereka‘ memerlukan kasih sayang dan perhatian yang lebih. Luangkan masa bermain dengan tunjukkan kasih sayang kerana haiwan ini amat memerlukan kasih sayang daripada kita,“ ujarnya.

Selain Tiggy, influencer berwibawa itu turut memelihara dua lagi ekor kucing lain yang diberi nama El-Chapo dan Pixie.

Nampaknya, kedua-dua anak Nana iaitu Althea dan Aaqib termasuk suami tercinta Mohamed Raqeem Brian Abdullah juga menyenangi dan sangat menyanyi ketiga-tiga haiwan comel mereka.

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram