SEMPENA menyambut bulan Ramadan Al-Mubarak ini, empat artis baharu naungan Indigital Music hadir dengan buah tangan khusus untuk semua pendengar.

Lagu Sedar Ku menggabungkan empat bakat muda iaitu Syahmi Irfan, Syafiq Naser, Aliff Iskandar dan Killa Driz.

Jika diamati, lagu itu bukan sahaja memberikan nasihat tetapi dalam masa yang sama mendekatkan diri dengan Tuhan seperti mana yang dituntut oleh-Nya.

Bagi Syafiq Naser, mesej yang dititipkan melalui Sedar Ku bukan sahaja membawa mereka terkenangkan kembali perjalanan hidup yang telah dilalui tetapi juga membuatkan sesiapa sahaja mahu menjadi insan yang lebih baik dari semasa ke semasa.

“Memang benar, perjalanan hidup kita berbeza dan apa yang dilalui juga tidak sama antara satu sama lain. Apabila membaca dan ‘menghadam’ sendiri kisah yang ditulis melalui lagu ini, membuatkan saya terfikir banyak perkara.

“Apa yang telah kita buat selama ini? Adakah cukup amalan dan kebaikan kita? Semua ini bermain di fikiran dan membuatkan saya perlu melakukan sesuatu sebelum terlambat,” katanya.

Bagi Syahmi pula, lirik yang ditulis oleh Iman Imran dan Killa Driz itu begitu menusuk hatinya dan menganggap Sedar Ku sebagai sebuah karya yang membawa sesiapa sahaja berfikir sejenak dengan perjalanan hidup sendiri.

Ditambah dengan kehadiran bulan Ramadan yang baru sahaja menjelma, lagu itu bagaikan memberikan kesedaran tetapi dalam masa yang sama ‘menyucikan’ jiwa untuk terus mendekatkan diri dengan Tuhan.

Iklan

“Kita mungkin terlalu sibuk mengejar banyak perkara tetapi dalam masa yang sama terlupa dengan kekurangan dan kekhilafan yang dilakukan. Jadi dengan adanya ‘ingatan’ melalui lirik sebegini, ia dapat memberikan kesedaran kepada semua.

“Ini memang satu penghormatan besar untuk penyanyi baru seperti kami,” kata Syahmi yang pernah merakamkan lagu Mungkir bersama Aufahanie sebelum ini.

Sedar Ku yang berkisahkan tentang nafsu, amarah dan noda yang biasanya bersembunyi di sebalik perkataan cinta.  Segala-galanya ditolak ke tepi saat cinta menguasai hidup padahal kita perlu meletakkan cinta kepada Yang Maha Esa di hadapan berbanding perkara lain.

Iklan

Lagu yang berentak balada diciptakan oleh Natasyah, Mazlan Setapa dan Hafiz Dot dilancarkan secara rasmi pada 9 April lalu di semua platform digital dan boleh ditonton melalui YouTube Indigital Music.

Ia juga menjadi runut bunyi drama Bila Syaitan Berbisik yang ditayangkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 11 malam di Astro Ria.