ISU gangguan seksual terhadap golongan wanita bukanlah perkara baru yang kita dengar. Sentiasa ada dan berlaku di mana-mana. Malah tiada mangsa yang berani tampil ke depan membela diri mereka atas pelbagai sebab termasuk trauma yang dihadapi.

Menjadi suara kepada golongan ini, filem berjudul She Said tampilkan sebuah cerita yang diungkap daripada kisah benar melibatkan skandal gangguan seksual oleh bekas penerbit filem Hollywood terkenal, Harvey Weinstein yang didedahkan kepada umum sekitar tahun 2017.

Pendedahan berani itu dilakukan oleh dua wartawan wanita hebat daripada The New York Times, Jodi Kantor dan Megan Twohey menerusi sebuah buku pada 2019, sebelum ia diangkat ke layar lebar.

Banyak nama popular di Hollywood disebut dalam penyiasatan yang dilakukan oleh Jodi dan Megan termasuk Ashely Jude dan Gwyneth Paltrow yang rupa-rupanya menjadi sebahagian saksi penting skandal itu.

Filem arahan Maria Schrader itu menceritakan tentang kegigihan Jodi Kantor dan Megan Twohey, menyiasat dan membongkar skandal gangguan seksual melibatkan Harvey Weinstein.

Mereka berdepan pelbagai cabaran kerana tidak semua mangsa berani bersuara secara ‘on record’ kerana takut dengan pengaruh Harvey dan tidak mempunyai bukti yang kuat selain apa yang mereka alami ketika kejadian.

Jodi dan Megan berusaha keras dengan memberi mereka semangat dan keberanian untuk membuka mulut sekali gus membantu wanita-wanita lain yang turut menjadi mangsa Harvey.

She Said beri mesej penting kepada penonton berkaitan isu gangguan seksual.

She Said mengajak penonton untuk melihat isu ini dengan lebih serius dengan memaparkan trauma yang dihadapi mangsa apabila tidak memperoleh keadilan daripada pelbagai pihak, termasuk sistem perundangan sendiri.

Filem ini berjaya mendedahkan banyak perkara yang dapat membuka mata golongan wanita agar lebih berani mengungkap kebenaran dan bijak dalam menghadapi sesuatu perkara yang tidak sepatutnya dilakukan pada mereka.

Banyak babak yang ditampilkan secara diamnya menyampaikan mesej dan inspirasi kepada penonton untuk melihat isu ini sebagai satu perkara serius yang harus diperangi habis-habisan.

Iklan

Menariknya filem ini berjaya memperlihatkan kegigihan para wartawan dalam usaha mereka mendapatkan berita eksklusif yang benar-benar memberi impak tanpa melanggar undang-undang dan dalam masa sama tidak memberi tekanan kepada mangsa terlibat.

Gandingan Zoe Kazan dan Carey Mulligan ternyata serasi dan meyakinkan menerusi watak Jodi serta Megan. Bukan mudah untuk menjayakan watak tokoh sebenar yang masih hidup, namun mereka berjaya melakukannya.

Mungkin ada yang beranggapan filem ini terlihat seperti sebuah penceritaan langsung seperti sebuah dokumentari, namun secara keseluruhannya She Said berjaya menyampaikan apa yang mereka ingin berikan kepada penonton tanpa sedikitpun rasa bosan.

Iklan

She Said merupakan sebuah filem wajib tonton dan kini sedang hangat ditayangkan di pawagam berdekatan.

She Said
Bahasa: Inggeris
Klasifikasi: 18
Genre: Drama
Durasi: 2 jam 8 minit
Pengarah: Maria Schrader
Pelakon: Zoe Kazan, Carey Mulligan, Patricia Clarkson, Andre Braugher
Tarikh Tayangan: 24 November 2022
Edaran: United International Pictures