SETELAH 65 jam bertarung nyawa akibat jangkitan Covid-19, penyanyi Siti Sarah Raissuddin, 37, menghembuskan nafas terakhir jam 5.13 pagi tadi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Berita sedih itu diumumkan sendiri suami Sarah, Shuib dan syarikat pengurusannya, Indigital Music sebentar tadi.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Shuib Sepahtu (@shuibsepahtu)

“Dengan berat hati dan berdukacita, kami ingin memaklumkan bahawasanya Siti Sarah Raissuddin disahkan meninggal dunia jam 5.13 pagi.

“Terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus memberikan doa serta sokongan kepadanya sejak dimasukkan ke hospital beberapa hari yang lalu,” ujar Indigital Music dalam satu kenyataan media pada 5.44 pagi.

Terdahulu penyanyi yang mula meledak dengan lagu Kesetiaan itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HCTM  selepas tahap oksigen menurun setelah dijangkiti virus itu pada 27 Julai lalu.

Iklan

Sarah kemudiannya ditidurkan sebelum pembedahan dijalankan bagi mengeluarkan bayi dalam kandungan.

Iklan

Sejak itu, keadaan Sarah mula merosot dan baik seketika sebelum doktor memaklumkan paras oksigen dalam badan penyanyi itu berkurangan kepada 40 peratus pada malam Ahad.

Sarah dan Shuib mendirikan rumah tangga pada 26 Februari 2011. Hasil perkahwinan selama sedekad itu, pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6 dan Ayash Affan yang baru berusia tiga hari.