PERSATUAN Seniman Malaysia (Seniman), Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) meluahkan rasa kesal terhadap Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berhubung isu pelaksanaan semula program Padu Citra selaras dengan pelaksanaan Program Akreditasi dan Pentauliahan Industri Kandungan Kreatif tanpa persetujuan mereka.

Menerusi satu kenyataan media hari ini, tiga persatuan terbabit menyifatkan penamatan keahlian Padu Citra sedia ada iaitu Seniman, FDAM dan Profima bermula 1 Februari sebagaimana terkandung dalam kenyataan media Finas pada 14 Januari lalu, tidak dilakukan secara rundingan.

“Kenyataan bahawa penerbit tidak perlu lagi menjadi ahli tiga persatuan amatlah lucu dan dangkal sekali.

“Di bawah Padu Citra, penerbit tidak pernah diwajibkan menjadi ahli tiga persatuan. Mereka yang wajib menjadi ahli salah satu persatuan di bawah Padu Citra adalah pekerja filem iaitu pengarah (FDAM) krew (profima) dan pelakon (seniman).

“FDAM, Seniman dan Profima merupakan persatuan utama yang mewakili kira-kira 28,000 penggiat industri filem dan TV.

“Jika ditamatkan keahlian Padu Citra tiga persatuan ini, bermakna suara majoriti kami tidak lagi diwakili untuk sebarang urusan dengan Finas,” ujarnya.

Selain itu tiga persatuan tersebut juga mempersoalkan tindakan Finas melaksanakan melaksanakan program akreditasi dan pentauliahan secara tergesa-gesa tampil mengambil kira impak krisis semasa.

“Kenapa perlu melaksanakan program akreditasi dan pentauliahan ini tergesa-gesa dalam keadaan negara sedang dilanda musibah yang memberi kesan kepada semua golongan masyarakat.

“Adakah ini prioriti Finas sekarang ini dalam keadaan semua warga seni kreatif terjejas teruk akibat tidak dapat mencari rezeki di luar sana?

“Tiga persatuan ini juga telah mengutus surat kepada Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nazri pada 18 Januari, untuk memohon diadakan pertemuan pada tarikh yang beliau sendiri tentukan bagi memberi pencerahan apa sebenarnya yang beliau ingin lakukan.

“Namun sehingga hari ini beliau langsung tidak menjawab surat kami,” katanya.

Apatah lagi semenjak negara dilanda pandemik Covid-19, ramai pekerja industri filem dan TV terjejas teruk kerana tidak dapat bekerja

“Jumlah tenaga kreatif yang terlibat dalam sesuatu penerbitan tidaklah seramai pengunjung pasar malam, pasaraya atau pekerja kilang.

Iklan

“Penggambaran masih boleh dibuat dengan amalan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan terkawal.

“Sepatutnya ini yang perlu menjadi prioriti CEO Finas sekarang ini. Hal pentauliahan anak seni ini sepatutnya menjadi perkara terakhir yang beliau fikirkan.

“Beliau juga menyatakan ingin membanyakkan lagi persatuan-persatuan di bawah Padu Citra. Tindakan ini sudah pastilah akan memecah-belah persatuan-persatuan yang sedia ada ini sejak puluhan tahun. Adakah ini strategi ‘divide and rule CEO finas?

“Komposisi ahli perbadanan Finas juga amat meragukan. Dengan majoriti mereka adalah merupakan penerbit yang masih aktif, tidakkah ini menimbulkan conflict of interest?” soalanya.

Iklan

Dalam kenyataan sama, tiga persatuan tersebut mengharapkan agar pelaksaan program tersebut ditangguhkan terlebih dahulu.

“Diharapkan tangguhkanlah dahulu program yang sedang mereka ingin laksanakan dengan tergesa-gesa itu.

“Jalinlah kembali hubungan dengan persatuan utama yang memayungi majoriti penggiat industri filem dan TV ini,” katanya.

Terdahulu, menerusi inisiatif diperkenalkan Finas baru-baru ini, penerbit tidak perlu lagi memiliki keahlian dalam tiga persatuan iaitu Seniman, FDAM dan Profima seperti yang dinyatakan dalam Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) bermula 1 Februari.