PENERBIT dan pengarah prolifik, Datuk Yusof Haslam mengesahkan Gerak Khas The Finale bakal menjadi titik noktah buat drama bersiri kepolisan itu selepas dua dekad bersiaran.

Bukan hanya drama bersiri, tidak ada filem Gerak Khas yang akan diterbitkan selepas ini.

Gerak Khas The Finale yang kini ditayangkan di TV3 setiap hari Jumaat dan Sabtu, jam 10.30 malam sejak 4 Disember lalu akan melabuhkan tirainya pada episode ke-28.

“Setiap yang bermula pasti akan berakhir. Dalam kehidupan kita pun sama. Biarlah ia menjadi kenangan peribadi buat saya.

“Saya juga tidak menyangka Gerak Khas mampu bertahan selama ini dan saya mahu ia menjadi kenangan yang manis bukan sahaja buat pelakon dan krew, tetapi juga penonton,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media secara virtual Gerak Khas The Finale semalam.

Ditanya mengapa siri kepolisan itu beralih ke TV3 selepas dua dekad disiarkan menerusi stesen RTM, Yusof lebih selesa merahsiakan perkara itu.

“Biarlah menjadi rahsia, saya tak mahu mendedahkan sebabnya kerana membabitkan stesen televisyen. Lagipun saya masih ada hubungan yang baik dengan RTM,” jelasnya.

Antara barisan pelakon drama Gerak Khas The Finale.

Mengulas mengenai tayangan Gerak Khas The Finale di TV3, figura berusia 66 tahun itu mengakui terharu apabila drama berkenaan trending di media sosial Jumaat lalu.

Iklan

“Saya rasa terharu dan ingin ucapkan jutaan terima kasih atas sokongan padu peminat. Ia satu penghargaan dan semangat kepada kami yang terus berjuang.

“Mereka telah buktikan juga bahawa mereka akan tetap mengikuti siri Gerak Khas ini tidak kira di mana jua kami bersiaran,” ujar beliau.

Iklan
Antara babak di dalam Gerak Khas The Finale.

Apa yang menarik kali ini, drama bersiri yang penuh dengan aksi, suspen, thriller dan misteri ini diarahkan oleh beberapa pengarah berpengalaman seperti Faizal Yusof, C. Kumaresan, Aziz M. Osman, M S Hakimi dan Iskandar Kamaludin.

Drama ini turut dibintangi Yusof Norman Hakim, C. Kumaresan, Abby Abadi, Erra Fazira, Salina Saibi, Ungku Ismail, Sheera Iskandar dan ramai lagi.